LBS, MGB tubuh konsortium tenaga boleh diperbaharui
Hock San (empat dari kiri) bersama Shamsul Bahar (empat dari kanan) memegang dokumen LOI pada IGEM 2023 di Kuala Lumpur - Gambar ihsan LBS
Hock San (empat dari kiri) bersama Shamsul Bahar (empat dari kanan) memegang dokumen LOI pada IGEM 2023 di Kuala Lumpur – Gambar ihsan LBS

KUALA LUMPUR: LBS Bina Group Bhd (LBS) melalui anak syarikatnya, MGB Bhd (MGB) menjalin kerjasama strategik dengan Malaysia Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC) bagi mewujudkan satu konsortium.

Pengerusi Eksekutif LBS, Tan Sri Ir Lim Hock San, berkata kerjasama itu akan mewujudkan satu konsortium yang terdiri daripada LBS, MGB, Midwest Green Sdn Bhd (MWG) dan MGTC dengan matlamat utama merevolusikan landskap tenaga solar.

Beliau berkata, di samping itu, konsortium turut akan mengintegrasikan teknologi hijau canggih ke dalam evolusi ladang solar yang merangkumi teknologi Pengawalan Penyimpanan Karbon (CCS), pertanian dan penuaian air.

“Konsortium itu mewakili kepentingan untuk meningkatkan penggunaan bidang tenaga boleh diperbaharui, sekali gus mempromosikan pembangunan program solar berskala besar yang berinovatif,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

MGTC adalah agensi di bawah Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) yang diberi mandat untuk memacu inisiatif pertumbuhan hijau, mitigasi perubahan iklim dan gaya hidup hijau negara.

Bagi tujuan itu, satu majlis pertukaran dokumen Surat Minat (LOI) telah diadakan pada Persidangan dan Pameran Teknologi Hijau serta Produk Eko Antarabangsa Malaysia (IGEM) 2023.

Hock San mewakili LBS, manakala MGB diwakili oleh Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Joey Lim Hock Guan dan MGTC pula diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Shamsul Bahar Mohd Nor.

Majlis pertukaran dokumen LOI itu turut disaksikan oleh Timbalan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Datuk Seri Huang Tiong Sii serta Pengarah Urusan Kumpulan Solarvest Holdings Bhd, Lim Chin Siu dan Ketua Pengarah Utiliti Komersialnya, Windsor Khor Thiam Seng.

Mengulas lanjut, Hock San yang juga Naib Pengerusi Eksekutif MGB berkata, kumpulan teruja dengan kerjasama bersama MGTC di dalam era baru kelestarian tenaga boleh diperbaharui.

Beliau berkata, melalui kerjasama itu, kumpulan dapat memperkukuhkan kepakaran di samping berpeluang untuk mempelopori sektor ladang tenaga solar.

Gandingan itu, katanya bakal merealisasikan masa depan berteknologi tenaga boleh diperbaharui yang lebih mesra alam.

“Komitmen yang tidak berbelah bahagi terhadap pembangunan mampan dan bersepadu serta tanggungjawab terhadap alam sekitar adalah kekuatan utama kami dalam usaha ini,” katanya.

Hock San berkata, pemilihan Solarvest sebagai kontraktor kejuruteraan, perolehan dan pembinaan (EPC) adalah selaras dengan hasrat konsortium yang bercita-cita tinggi untuk melaksanakan program di dalam skala yang besar dan direka untuk mentakrifkan semula piawaian industri di samping menawarkan pelan hala tuju yang lebih hijau dan mampan.

Beliau berkata, ia juga mewakili komitmen kumpulan untuk memacu perjalanan organisasi bagi mencapai matlamat Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dan meningkatkan usaha kemampanan.

Katanya, ia juga sekali gus membantu menempatkan kumpulan sejajar dengan rangka kerja Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).

“Inilah usaha kami bagi membina asas untuk Malaysia yang lebih hijau dan mampan bagi generasi akan datang,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Like this article?
Share on Facebook
Share on Twitter
Share on Linkdin
Share on Pinterest