KUALA LUMPUR, 3 Dis (Bernama) — UOB Malaysia hari ini mengumumkan bahawa ibu pejabat korporatnya, UOB Plaza 1 Kuala Lumpur (UOB Plaza 1 KL), telah meraih anugerah tertinggi dalam kecekapan tenaga. Bangunan ini telah dipilih sebagai pemenang dalam kategori Bangunan Cekap Tenaga di Anugerah Amalan Terbaik Kecekapan dan Konservasi Tenaga ASEAN 2024 dan Anugerah Tenaga Kebangsaan 2024.
Anugerah Amalan Terbaik Kecekapan dan Konservasi Tenaga ASEAN, disampaikan oleh Pusat Tenaga ASEAN, mengiktiraf kecemerlangan sektor swasta dalam memajukan kecekapan dan konservasi tenaga di rantau ini. Sementara itu, Anugerah Tenaga Kebangsaan yang diterajui Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim mengiktiraf pemimpin industri atas komitmen mereka dalam melaksanakan amalan tenaga lestari di Malaysia.
Komitmen UOB Malaysia terhadap kesejahteraan tempat kerja di UOB Plaza 1 KL juga memenangi Anugerah Program Kesejahteraan Tempat Kerja di Anugerah Perniagaan ESG 2024 untuk tahun kedua berturut-turut.
Puan Ng Wei Wei, Ketua Pegawai Eksekutif UOB Malaysia, berkata, “Kami amat berbesar hati menerima pengiktirafan ini di kedua-dua peringkat serantau dan kebangsaan, yang sudah pasti mengesahkan komitmen kami terhadap kemampanan. Dengan menggabungkan reka bentuk, tujuan, dan fungsi, kami telah menyediakan ruang kerja yang bukan sahaja menerapkan nilai-nilai kami, tetapi juga menunjukkan bagaimana kami mengimbangi pertumbuhan jangka panjang dengan tanggungjawab. UOB Plaza 1 Kuala Lumpur berdiri tegak sebagai bukti perjalanan kami dalam memajukan amalan terbaik ESG yang dapat mewujudkan nilai berkekalan untuk kakitangan, pelanggan dan komuniti kami.”
Siap pada September 2022, bangunan 37 tingkat UOB Plaza 1 KL ini merupakan ibu pejabat bank pertama di Malaysia untuk mencapai penarafan platinum daripada GreenRE¹ Malaysia dan BCA Green Mark Singapura. Ciri-ciri bangunan yang memenangi anugerah termasuk seni bina lestari, sistem pengurusan tenaga, air dan sisa yang cekap, serta tumpuan kepada kesejahteraan kakitangan. Pemasangan utama yang mesra alam, seperti sistem penyejukan dan pencahayaan yang cekap tenaga, kelengkapan cekap air dan sistem penuaian air hujan, menyumbang dengan ketaranya kepada pengurangan jejak karbon.
Memupuk Warga Kerja dengan Cara Tersendiri UOB
Reka bentuk UOB Plaza 1 KL bukan sahaja memenuhi piawaian hijau, malah ia juga memupuk tenaga kerja yang bersedia hadapi masa hadapan. Mengambil kira kesejahteraan penghuninya, reka bentuk bangunan ini menggalakkan persekitaran kerja yang kolaboratif dan tangkas, bersesuaian dengan landskap perniagaan yang berkembang pesat. Kesejahteraan kakitangan diberi keutamaan di bangunan ini dengan tersedianya cahaya semula jadi yang melimpah, kualiti udara dalaman yang amat baik, dan kawasan hijau. Pelbagai kemudahan lain juga ditawarkan termasuk gimnasium, pusat jagaan kanak-kanak, klinik kesihatan, tempat makan sky dining dan bistro di setiap tingkat. Kawasan sosial pelbagai kegunaan menggalakkan lagi aktiviti rekreasi dan penglibatan komuniti melalui berbagai inisiatif di bawah program kesejahteraan UOB Malaysia, sekali gus menggalakkan gaya hidup sihat dan terangkum yang dipacu Tujuan, Minat dan Insan (Purpose, Passion and People).
Mengenai UOB Malaysia
UOB Malaysia diiktiraf sebagai antara bank utama di Malaysia dengan penarafan AAA jangka panjang dari Ratings Agency of Malaysia. Ia telah memantapkan kedudukannya selama lebih tujuh dekad di negara ini dan mempunyai 55 cawangan di seluruh negara, menawarkan perkhidmatan perbankan konvensional dan Islam kepada para pelanggannya.
UOB Malaysia adalah anak syarikat UOB, sebuah bank terkemuka di Asia dengan rangkaian global sekitar 500 pejabat di 19 negara dan wilayah di Asia Pasifik, Eropah dan Amerika Utara. UOB telah mengamalkan pendekatan berpusatkan pelanggan bagi mewujudkan nilai jangka panjang supaya kekal relevan, melalui semangat keusahawanan dan melakukan segala yang diperlukan bagi pelanggannya. UOB memberi tumpuan kepada pembinaan masa depan ASEAN – untuk rakyat dan perniagaan di dalam, dan yang berhubung dengan ASEAN.
Dengan jejak serantau yang tiada tandingannya, Bank dapat menghubungkan perniagaan kepada peluang di rantau ini. Bank juga memanfaatkan data dan maklumat bagi memperkenalkan pembaharuan serta mewujudkan pengalaman dan penyelesaian perbankan yang diperibadikan demi memenuhi keperluan unik dan pilihan pelanggan yang sentiasa berubah. UOB juga komited membantu perniagaan menempa masa depan yang mampan, dengan memupuk keterangkuman sosial, mewujudkan impak alam sekitar yang positif dan mencapai kemajuan ekonomi. UOB berusaha menjadi penyedia perkhidmatan kewangan yang bertanggungjawab dan teguh dalam menyokong seni, pembangunan sosial kanak-kanak dan pendidikan, melakukan segala yang diperlukan demi komuniti dan pihak berkepentingannya.
[¹]Sila rujuk siaran akhbar – ‘UOB Malaysia is the first bank to receive GreenRE platinum certification for its corporate headquarters’, 22 Januari 2024
SUMBER: UOB Malaysia
UNTUK MAKLUMAT LANJUT SILA HUBUNGI:
Nama: Nizam Arop
Brand, Media and Communications
Tel: 603- 2638 6304/ 6017-333 6329
Emel: nizam.arop@uob.com.my
Nama: Sharie Elina Ibrahim
Brand, Media and Communications
Tel: 603-2638 6589/ 6012-682 6300
Emel: sharie.elina@uob.com.my
–BERNAMA
Sumber: Bernama