NRES sasar 25 Rumah Ibadat Hijau setiap tahun
Nik Nazmi (dua dari kanan) mendengar penerangan berkenaan sistem solar di Masjid Jamek Dato Klana Petra Sendeng.
Nik Nazmi (dua dari kanan) mendengar penerangan berkenaan sistem solar di Masjid Jamek Dato Klana Petra Sendeng.

SEREMBAN – Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) menyasarkan untuk melaksanakan program Rumah Ibadat Hijau (RIH) di 25 rumah ibadat di seluruh negara setiap tahun.

Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, setakat ini sebanyak 12 rumah ibadat termasuk yang bukan Islam telah melaksanakan program berkenaan.

“Selain itu terdapat 58 permohonan telah diterima oleh Pusat Perubahan Iklim dan Teknologi Hijau Malaysia (MGTC) untuk melaksanakan program tersebut.

“Insya-ALLAH kita akan jadikan ia sebagai satu pemangkin untuk perbanyakkan lagi amalan gaya hidup hijau,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Perasmian Sistem Solar Hasil Pendanaan Wakaf Masjid Hijau (Rumah Ibadat Hijau) di Masjid Jamek Dato Klana Petra Sendeng di sini pada Jumaat.

Menurutnya, masjid itu merupakan salah satu penerima dana Wakaf Masjid Hijau (WMH) berjumlah RM60,000 untuk projek pemasangan sistem panel solar.

Nik Nazmi ditemui pemberita selepas majlis Perasmian Sistem Solar Hasil Pendanaan Wakaf Masjid Hijau (Rumah Ibadat Hijau) di Masjid Jamek Dato Klana Petra Sendeng pada Jumaat.

Tambahnya, komitmen daripada jawatankuasa masjid dan kariah berjaya mengumpulkan kutipan infak sebanyak RM12,000 bagi pelaksanaannya.

“Sistem panel solar ini dijangka menjana tenaga boleh baharu sebanyak 26,600 kilowatt dan penjimatan kos utiliti masjid sebanyak RM14,000 secara tahunan.

“Kos pemasangan sistem panel solar hari ini dilihat lebih ekonomi. Kalau dulu ia dilihat agak mahal, tapi sekarang banyak yang mula menggunakannya kerana faedah dari segi penjimatan,” katanya.

Selain itu katanya, sehingga 31 Januari lalu, sebanyak RM257,961.23 telah terkumpul di bawah WMH dengan RM190,000 dana telah disalurkan kepada empat buah masjid, tahun lalu.

Sehubungan itu, beliau mengalu-alukan sumbangan daripada swasta dan orang ramai ke tabung WMH menerusi akaun Yayasan Wakaf Malaysia di RHB Islamic Bank bernombor 2124-576004-6138 bagi menggalakkan penyertaan rumah-rumah ibadat dan komuniti di bawah RIH.

Dalam pada itu, Pengerusi Masjid Jamek Dato Klana Petra Sendeng, Rosli Che Man berkata, masjid dapat menjimatkan sekurang-kurangnya RM1,000 setiap bulan sejak menggunakan sistem solar tersebut pada November tahun lalu.

“Kebiasaannya bil elektrik kita sehingga RM5,000 sebulan, tetapi sekarang berkurangan 20 peratus. Jadi kita telah dapat menjimatkan perbelanjaan masjid kira-kira RM1,000,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

Like this article?
Share on Facebook
Share on Twitter
Share on Linkdin
Share on Pinterest