Jemaah Menteri bekerja sebagai satu pasukan
ANWAR mempengerusikan mesyuarat Jemaah Menteri. Foto FB Anwar Ibrahim
ANWAR mempengerusikan mesyuarat Jemaah Menteri. Foto FB Anwar Ibrahim

PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan supaya Jemaah Menteri mengamalkan konsep bekerja sebagai satu pasukan, terutama ketika menjawab persoalan dibangkitkan di Parlimen.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, berkata peringatan itu disuarakan Perdana Menteri ketika mempengerusikan mesyuarat Kabinet hari ini.

“Sebagai contoh bagi isu hal ehwal Sabah dan Sarawak, yang akan menjawabnya ialah Datuk Seri Fadillah Yusof (Timbalan Perdana Menteri).

“Sekiranya beliau tidak boleh menjawab atau tidak berada di Parlimen, maka akan dijawab Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, (Datuk Ewon Benedick).

“Jika beliau tidak ada, akan dijawab oleh Menteri Perpaduan (Datuk Aaron Ago Dagang). Jika ketiga-tiga menteri tidak ada, maka timbalan kepada Fadillah akan menjawab,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Fahmi berkata, berkaitan isu bencana, ia dijawab oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, sekiranya beliau tiada, tanggungjawab itu akan diambil alih oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri.

Katanya, bagi isu FELDA, Jemaah Menteri memutuskan dijawab oleh Ahmad Zahid.

“Sebelum ini isu FELDA dijawab oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) tetapi mesyuarat hari ini memutuskan supaya ia dijawab oleh Timbalan Perdana Menteri.

“Sekiranya beliau tidak berada di Parlimen atau tidak dapat menjawab, (isu FELDA) akan dijawab oleh timbalan beliau (Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang),” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Perdana Menteri bersetuju untuk membincangkan semula kedudukan Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA).

Ini selepas unit berkenaan diletakkan kembali di bawah Kementerian Perpaduan Negara selepas berada di bawah kawal selia Jabatan Perdana Menteri (JPM), sebelum ini.

“MITRA ada perbincangan yang akan diadakan selepas Menteri Perpaduan mendapat maklum balas daripada orang ramai dan pihak berkepentingan. Perdana Menteri sudah bersetuju untuk membincangkannya semula,” katanya.

Selain itu, katanya, Jemaah Menteri bersetuju supaya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) kekal bersama Kementerian Komunikasi, manakala Unit Tadbiran dan Perancangan Pengurusan (MAMPU), Digital Nasional Berhad (DNB), CyberSecurity dan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) dipindahkan ke Kementerian Digital.

“MIMOS sebelum ini dimaklumkan di bawah JPM, dikembalikan kepada MOSTI (Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi). Fungsi MyDigital ID, kekal di bawah JPM buat sementara waktu, manakala selepas dibangunkan sepenuhnya nanti, akan dikelola oleh Kementerian Digital.

“Bagi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) yang sebelum ini di bawah Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) akan diletakkan di bawah Kementerian Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam, manakala Malaysian Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC) kekal dengan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Like this article?
Share on Facebook
Share on Twitter
Share on Linkdin
Share on Pinterest