Carian
Close this search box.
Pelan Tindakan Sisa Pepejal akan dilancar pada 23 November
Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming - Foto BERNAMA
Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming – Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Malaysia akan melancarkan Pelan Tindakan Sisa Pepejal baharu pada 23 November ini dalam usaha untuk mengurangkan pelepasan karbon dan meningkatkan kelestarian.

Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, berkata dengan komitmen untuk mencapai pelepasan karbon bersih sifar menjelang 2050, Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) kini menerajui inisiatif untuk mentransformasikan sistem pengurusan sisa pepejal negara.

“Ekonomi kitaran, strategi penting dalam mencapai neutraliti karbon, menumpu kepada konsep 9R – (Refuse) Menolak, (Rethink) Memikirkan Semula, (Reduce) Mengurangkan, (Reuse) Mengguna Semula, (Repair) Membaiki, (Refurbish) Memperbaharui, (Remanufacture) Mengilang Semula, (Repurpose) Guna Semula, (Recycle) Kitar Semula, dan (Recover) Memulih.

“Dengan mengguna pakai prinsip ini, Malaysia berhasrat untuk memanjangkan jangka hayat bahan, produk dan perkhidmatan, seterusnya meminimumkan sisa yang dihantar ke tapak pelupusan sampah dan mengurangkan kesan karbon.

“Walaupun sisa pepejal menyumbang hanya 3.54 peratus kepada pelepasan karbon, kementerian tidak berbelah bahagi dalam komitmennya. Saya komited dan yakin sepenuhnya bahawa dengan adanya sistem pengurusan sisa yang baik dan mampan, sektor sisa pepejal dapat membantu mencapai sasaran negara bagi pelepasan karbon sifar bersih seawal 2050.

“Transformasi daripada ekonomi linear kepada ekonomi kitaran memerlukan kerjasama merentas sektor, dan Malaysia telah mencapai kemajuan yang ketara ke arah sasaran ini,” kata beliau dalam ucapan perasmian ‘Carbon Neutrality – Circular Economy Workshop’ di sini hari ini.

Dianjurkan bersama oleh Kedutaan Korea Selatan di Malaysia dan Korea Environment Corporation (K-Eco), bengkel itu adalah peluang untuk kerjasama dua hala antara Malaysia dan Korea Selatan yang menawarkan platform untuk berkongsi pengalaman, pengetahuan dan pelaburan.

Ketika kedua-dua negara berusaha untuk pengurusan sisa kitaran dan mampan, satu dialog yang bertujuan untuk mengenal pasti bidang kerjasama yang sejajar dengan rangka kerja kawal selia dan matlamat pengurusan sisa telah diadakan.

Sementara itu, Duta Besar Korea Selatan ke Malaysia, Yeo Seung Bae, berkata kedua-dua negara harus memainkan peranan utama dalam menangani cabaran global seperti perubahan iklim di rantau Asia.

“Mencapai neutraliti karbon dan ekonomi kitaran adalah objektif teras untuk mengurangkan perubahan iklim dan menjamin masa depan planet kita. Ini memerlukan bukan sahaja respons satu atau dua negara, tetapi usaha bersepadu dalam kalangan negara.

“Sebagai sebahagian daripada usaha sedemikian dalam konteks ASEAN, Korea Selatan secara rasmi melancarkan ‘ASEAN-ROK Methane Action (PARMA)’ semasa Mesyuarat Menteri Luar ASEAN pada Julai tahun ini. Ini adalah projek untuk memadankan keperluan ASEAN untuk pengurangan metana dengan institusi atau syarikat Korea yang boleh menyediakan pengetahuan dan sumber.

“Saya harap bengkel ini memberi peluang berharga kepada kedua-dua negara kita dalam mencari jalan untuk mengambil peranan utama dalam menjamin neutraliti karbon dan menggalakkan ekonomi kitaran,” katanya.

Bengkel itu menyaksikan pembentangan mengenai hala tuju dasar yang berkaitan dan kemajuan teknologi oleh syarikat Korea Selatan, seperti projek CCS Samsung Engineering, projek sisa kepada tenaga SK Ecoplant, dan projek penguraian plastik sisa City Oil Field, serta syarikat dan organisasi Malaysia seperti Sime Darby, Worldwide dan MAREA.

Dalam bengkel itu, K-ECO dan Perbadanan Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia (MGTC) menandatangani MoU melibatkan bidang kerjasama utama.

Perjanjian iu termasuk perkongsian teknologi dan maklumat untuk mencapai neutraliti karbon, program pembangunan kapasiti, dan inisiatif bersama yang berkaitan dengan penyesuaian perubahan iklim, seperti pembangunan inventori gas rumah hijau Malaysia.

-BERNAMA

Sumber: Berita Harian

Like this article?
Share on Facebook
Share on Twitter
Share on Linkdin
Share on Pinterest