KUALA LUMPUR: Program Penghijauan Rantaian Nilai (GVC) berjaya dilancarkan oleh Kossan Rubber Industries (KOSSAN) bersama dengan rakan kerjasama, Pantas Software (PANTAS) untuk membantu pembekal perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam rantaian bekalan mereka.
Program ini bertujuan membantu dan memberi insentif kepada pembekal PKS Kossan untuk mengukur dan mengurus pelepasan karbon mereka melalui penyelesaian perakaunan karbon yang dibangunkan oleh Pantas.
Di samping itu, pembekal juga berpeluang untuk mengakses Kemudahan Peralihan Rendah Karbon (LCTF) berjumlah RM2 bilion untuk membiayai modal kerja PKS atau perbelanjaan yang berkaitan dengan amalan rendah karbon pada kadar yang berpatutan.
“Program GVC merupakan situasi menang-menang untuk syarikat dan para pembekal selain dapat memanfaatkan alam sekitar,” kata Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Kossan, Tan Sri Lim Kuang Sia pada pada Majlis Pelancaran GVC di Auditorium Sasana Kijang, Bank Negara Malaysia, di sini, hari ini.
“Kami (Kossan) komited untuk menjadi syarikat berdaya tahan karbon dan ingin memanjangkan pelaburan Hijau ini kepada rakan kongsi rantaian bekalan strategik di bawah program GVC,” kata beliau.
Kuang Sia berkata walaupun ini langkah penting dalam usaha berterusan mereka untuk menjadi lebih hijau, tetapi ini hanya satu langkah daripada banyak lagi yang akan datang dalam perjalanan kelestarian Kossan.
Selain itu, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas bersama Pantas, Max Lee berkata beberapa sesi latihan akan diadakan di seluruh Malaysia di bawah program GVC.
“Pantas telah membangunkan perisian mesra PKS dalam 5 bahasa untuk mereka mengira dan melaporkan pelepasan karbon dan semua ini adalah percuma untuk peserta GVC,” tambah Max Lee.
Program ini sebenarnya adalah inisiatif yang telah dilancarkan sebelum ini oleh Bank Negara Malaysia (BNM) pada 9 November sempena Hari Kewangan 2022 di Mesir juga bertujuan memberi insentif kepada pengurusan pelepasan karbon dalam kalangan pembekal Kossan.
BNM dan agensi berkaitan seperti Perbadanan Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia (MGTC) dan Jawatankuasa Bersama Jawatankuasa Kecil Perubahan Iklim 3 (JC3 SC3) Produk dan Inovasi akan menyediakan pelbagai nasihat teknikal dan diagnosis di tapak.
Sumber: Astro Awani