SHAH ALAM – Pembangunan ladang babi moden dijangka selesai dalam tempoh tiga tahun bagi mengatasi masalah pencemaran dan pelepasan air kotor dan berbau ke pantai Tanjung Sepat.
Exco Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli Selangor, Hee Loy Sian bagaimanapun berkata, kerajaan negeri perlu menyelesaikan isu berkaitan tanah terlebih dahulu.
Menurutnya, sebagai langkah jangka pendek, data membabitkan premis-premis terbabit sedang dikumpulkan dan tindakan undang-undang akan diambil jika mereka didapati melakukan pencemaran.
“Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) sedang mengemaskini premis-premis itu dan jika didapati mereka mencemari sungai, kita akan ambil tindakan undang-undang dan kita sedang mengesan mereka.
“Di Selangor, kita ada 118 jumlah penternak babi di kawasan Tanjung Sepat, yang memberi bekalan kepada pengguna di Selangor dan Wilayah, bekalan ini tidak di eksport dan hanya untuk kegunaan tempatan,” katanya.
Loy Sian ditemui pada Majlis Pelancaran Komuniti Bebas Plastik Sekali Guna Shah Alam sempena Sambutan Ulang Tahun Bandaraya Shah Alam ke-22 di Vista Alam, Seksyen 14 di sini, pada Khamis.
Hadir sama, Timbalan Datuk Bandar Shah Alam, Mohd Rashidi Ruslan; Ketua Projek CAP-SEA Asia Tenggara, Christoffer Brick dan Ketua Pegawai Eksekutif MGTC, Shamsul Bahar Mohd Nor.
Dalam pada itu, Loy Sian berkata, penternakan babi di Tanjung Sepat di bawah kendalian Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) yang turut mengawal dan mengeluarkan lesen sejak 30 tahun lalu.
“Pencemaran ini sudah lama tetapi kali ini kita ambil tindakan serius sementara menunggu ‘modern pig farm’ itu (siap), kita akan bagi saman. Kalau mereka masih tidak mengikuti, kita akan bawa mereka ke mahkamah.
“Kita harap dapat selesai dalam tempoh tiga tahun, cuma kita selesaikan isu tanah dulu, kita akan kumpul (penternak) supaya mereka buat penternakan di satu tempat dan air itu akan dikitar semula dalam premis sama,” katanya.
Sebelum ini, media mendedahkan penderitaan kira-kira 7,000 penduduk Tanjung Sepat berdepan masalah pencemaran dipercayai kumbahan ternakan babi di kawasan itu sejak 30 tahun lalu.
Selain bau busuk, air dalam parit dan anak sungai di sekitar kawasan berkenaan dilaporkan media terbabit juga berwarna hitam pekat dan didakwa mengalir ke laut yang terletak kira-kira 30 meter.
Sumber : Sinar Harian