SHAH ALAM-Sebuah agensi Kerajaan Jerman Deutsche Gesellschaft für Internationale Zusammenarbeit (GIZ) bekerjasama dengan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) untuk menjayakan Projek Tindakan Kolaborasi Terhadap Pencegahan Penggunaan Plastik Sekali Guna di Asia Tenggara (CAP-SEA) oleh Malaysian Green Technology and Climate Change Centre (MGTC).
Menurut Unit Korporat MBSA, Shah Alam dipilih berdasarkan beberapa kriteria seperti kesediaan kelompok sasaran, perniagaan, industri dan komitmen kerajaan.
“Dalam memastikan hala tuju ini dapat dilaksanakan di bandar pihak MBSA telah memilih kawasan Vista Alam yang terletak di Seksyen 14 sebagai kawasan Komuniti Bebas Plastik Sekali Guna
(KBPSG).
“Pemilihan Vista Alam ini merupakan salah satu gerak kerja di bawah Projek CAPSEA oleh MGTC dan sebuah agensi di bawah kerajaan Jerman, GIZ sebagai penanda aras kepada
kawasan lain di dalam kawasan pentadbiran MBSA,”katanya.
Jelas Unit Korporat MBSA lagi, pelaksanaan kawasan Vista Alam sebagai kawasan KBPSG akan bermula pada 15 Jun ini.
Katanya lagi, setiap premis dan orang awam di Vista Alam perlu mematuhi langkah-langkah seperti tidak menggunakan beg plastik sekali guna, tidak menggunakan bekas makanan dan minuman berunsur plastik sekali guna, dan tidak menggunakan alatan pakai buang berunsur plastik sekali guna seperti sarung tangan plastik, apron,plastik dan lain-lain.
“Selain itu, premis perniagaan di Vista Alam juga dikehendaki untuk menyediakan beg boleh guna semula,beg kertas, beg boleh urai kepada orang awam.
“Orang awam pula digalakkan membawa beg boleh guna semula dari rumah untuk membeli belah dan membawa bekas dan alatan makanan dan minuman sendiri,”katanya.
Terdahulu, MBSA terlibat secara langsung bagi Kempen Hindar Penggunaan Plastik Di Semua Jabatan dan Agensi Kerajaan Di Negeri Selangor, Kempen Bebas Plastik Negeri Selangor dan Kempen Bebas Straw Plastik Negeri Selangor.
Selain itu, pihak MBSA juga telah mengadakan program Recycle Exchange dengan penduduk Shah Alam, Program Pengasingan Sisa Dari Rumah, dan turut mewujudkan Pusat Kitar Semula Komuniti untuk memberi kemudahan kepada penduduk bagi menghantar barang kitar semula berdekatan dengan tempat tinggal. -UTUSAN