Malaysia capai kesemua sasaran dalam Ekspo 2020 Dubai

PUTRAJAYA – Malaysia telah mencapai semua sasaran yang ditetapkan bagi penyertaan dalam Ekspo 2020 Dubai dari Oktober 2021 hingga 31 Mac lepas dengan cemerlang, kata Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

MOSTI adalah kementerian peneraju bagi penyertaan Malaysia ke Ekspo 2020 Dubai manakala Malaysian Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC) adalah agensi pelaksana.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Adham Baba dalam kenyataan yang dikeluarkan MOSTI pada Jumaat berkata, antara sasaran yang ditetapkan kerajaan adalah untuk mencapai antara RM8 bilion dan RM10 bilion potensi peluang perdagangan dan pelaburan sepanjang enam bulan penyertaan ke ekspo itu.

Menurutnya, penyertaan Malaysia di Ekspo 2020 Dubai selama enam bulan itu telah berjaya menjana RM70 bilion seperti yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 30 Mac lepas pada majlis penutup Pavilion Malaysia.

“Pencapaian ini membuktikan ekosistem pengkomersialan hasil R&D (penyelidikan dan pembangunan) negara kekal relevan, dan pembangunan industri R&D tempatan yang mampan serta berdaya saing,” katanya.

Beliau berkata, selain pencapaian dari segi ekonomi, Malaysia juga berjaya mengadakan program bertaraf antarabangsa sepanjang penyertaan di Ekspo 2020 Dubai.

“Pavilion Malaysia telah menerima kunjungan lebih daripada satu juta orang, selain turut menerima kunjungan 151 delegasi tertinggi dari negara atau organisasi antarabangsa yang menyertai Ekspo 2020 Dubai,” katanya.

Mengulas lanjut, Dr Adham berkata, Pavilion Malaysia juga telah disenaraikan sebagai salah satu antara lima pavilion paling hijau dan merupakan antara tujuh pavilion paling digemari di Ekspo 2020 Dubai oleh media antarabangsa.

Sumber : Sinar Harian

Like this article?
Share on Facebook
Share on Twitter
Share on Linkdin
Share on Pinterest