KUALA LUMPUR: Sudah tiba masanya pihak yang terlibat dalam sektor perindustrian dan perniagaan bersiap sedia untuk peralihan sosio-ekonomi pasca pandemik.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perkembangan positif itu muncul selepas kerajaan mempercepatkan proses vaksinasi dan melaksana pelbagai polisi serta pelan pemulihan bagi mengurangkan impak pandemik COVID-19.
Tambahnya, beliau optimis ekonomi negara dapat dibina semula secara berperingkat sekali gus membina masa depan yang lebih baik bersama.
“Perubahan yang tidak disangka dan cepat kerana pandemik memaksa kita untuk mengubah aspek kelestarian alam yang banyak mempengaruhi kehidupan kita.
“Dalam kita menghadapi pandemik ini, saya ingin tekankan bahawa kita tidak seharusnya melupakan cabaran dan perkara yang boleh timbul akibat perubahan iklim.
“Perubahan tersebut boleh memberi kesan dan ancaman jangka masa panjang terhadap kesejahteraan sosial, pembangunan ekonomi dan kesihatan global,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Persidangan dan Pameran Teknologi Hijau dan Product Eko Antarabangsa Malaysia (IGEM) 2021 secara dalam talian pada Khamis.
Bertemakan “Redefining Sustainability“, Muhyiddin menegaskan semua pihak perlu mencari jalan untuk seimbangkan kesejahteraan ekonomi dan sosial dan dalam masa sama, memelihara alam sekitar.
Justeru, beliau percaya IGEM mampu menjadi pemangkin untuk merealisasikan matlamat tersebut.wa
“Redefining Sustainability memberi peluang kepada kerajaan untuk menilai kembali strateginya dalam menghidupkan kembali ekonomi, memelihara alam sekitar dan membawa kestabilan sosial kepada cabaran iklim masa kini.
“Dengan munculnya industri hijau yang memerlukan inovasi baru, produk dan perkhidmatan untuk memenuhi permintaan pengguna, tema ini juga boleh diterjemahkan kepada peluang dan pasaran baru.
“Justeru, pemain industri perlu melihat usaha ini menyeluruh dan melihat kepada nilainya,” ujarnya.
Sumber : Astro Awani