Perkukuh tindakan mitigasi tangani perubahan iklim

KUALA LUMPUR: Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) akan memperkukuh tindakan mitigasi selari dengan obligasi dan komitmen negara untuk menangani perubahan iklim di bawah Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFCCC).

Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato’ Sri Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Laporan Pengemaskinian Dwitahunan Ketiga (BUR3) merupakan obligasi pelaporan negara yang mengandungi maklumat empat tahun ke belakang sehingga 2016, telah dikemukakan secara rasmi kepada UNFCCC pada 31 Disember lepas.

“Laporan BUR3 memuatkan inisiatif dan langkah mitigasi pelepasan gas rumah hijau (GHG) di peringkat kebangsaan dalam sektor perhutanan, tenaga dan sisa.

“Kerajaan sedang meneliti dan menerokai potensi baharu bagi melaksanakan tindakan mitigasi tambahan dalam sektor baharu seperti tenaga boleh baharu, pengangkutan elektrik dan pengurusan sisa,” katanya dilaporkan Bernama, semalam.

Tuan Ibrahim berkata dua kertas Jemaah Menteri mengenai laporan BUR3 Malaysia kepada UNFCCC dan Pengukuhan Tadbir Urus Perubahan Iklim Negara telah dibentang semasa Mesyuarat Jemaah Menteri pada 23 Disember lepas.

“Jemaah Menteri sebulat suara bersetuju dengan syor dicadangkan oleh kedua-dua kertas itu selain bersetuju supaya KASA membangun dan memperkasa kerangka perundangan dan institusi perubahan iklim dengan mengambil kira kaedah ‘whole of government approach’ dalam membangunkan dasar dan melaksana tindakan menangani perubahan iklim.

“Keputusan Jemaah Menteri ini mencerminkan komitmen tinggi kerajaan dalam menangani masalah perubahan iklim dengan memainkan peranan bersama masyarakat dunia ke arah pembangunan,” katanya.

Menurut beliau, KASA juga melaksana beberapa inisiaitif yang menyokong usaha mengurangkan pelepasan karbon seperti Rangka Kerja Bandar Rendah Karbon (LCCF), Pelan Induk Bandar Rendah Karbon (LCCMP) dan Pelan Pembangunan Mobiliti Rendah Karbon (LCMB).

Dato’ Sri Tuan Ibrahim dalam banyak penegasannya sentiasa berharap sensitiviti masyarakat kepada alam sekitar dapat diubah sebagai usaha membendung perubahan iklim yang ketara ketika ini.

Menurut beliau, KASA melalui beberapa agensi di bawahnya termasuk Malaysian Green Technology and Climate Change Centre (MGTC) kini dalam usaha menyediakan alternatif yang lebih mesra hijau.

Jelasnya, usaha yang mahu dibawa KASA dan MGTC adalah satu usaha yang sangat besar serta memerlukan sokongan daripada masyarakat dan badan-badan bukan kerajaan.

Selain itu katanya, pihak media juga boleh memainkan peranan yang besar dalam memastikan inisiatif KASA dan MGTC dapat diteruskan demi memastikan masyarakat lebih cakna kepada perubahan alam.

Beliau mengakui bahawa media mempunyai cabaran besar dalam memastikan penerimaan pembaca kepada kesedaran alam sekitar dan amat berharap supaya usaha membentuk minda yang cintakan alam sekitar dapat ditanamkan melalui media.

“Saya akui bahawa sebagai orang politik, terkadang berita politik lebih besar pengaruhnya dalam masyarakat berbanding apa yang dilakukan untuk menyelamatkan dunia dan alam seluruhnya.

“Oleh kerana itu, sensitiviti masyarakat kita mesti diolah kepada masyarakat yang mempunyai tanggungjawab kepada alam sekitar,” ujarnya.

MGTC juga ujarnya, sedang memperhalusi mekanisme pelaksanaan yang lebih inklusif dan mampan dengan memperkenalkan inisiatif Rumah Ibadat Angkat.

“Inisiatif itu bagi menggalakkan agensi, jabatan atau badan korporat memilih untuk bekerjasama dengan rumah ibadat pilihan dan memberi komitmen dalam bentuk sumbangan masa, tenaga serta kewangan kepada rumah ibadat.

“Objektif program Rumah Ibadat Hijau sebagai pusat pemangkin kelestarian alam sekitar dalam memupuk budaya gaya hidup hijau dalam kalangan ahli kariah iaitu menjadikan komuniti yang cekap tenaga, cekap air, mesra alam dan rendah karbon,” katanya di Dewan Rakyat sebelum ini.

Maklum beliau, agensi dan jabatan di bawah kementeriannya telah memilih 12 rumah ibadat di lapan negeri untuk dijadikan Rumah Ibadat Angkat dan menjalankan program Rumah Ibadat Hijau.

Katanya program Rumah Ibadat Hijau menekankan empat elemen hijau iaitu jimat penggunaan tenaga elektrik, jimat penggunaan air terutama ketika berwuduk di masjid dan surau, kurangkan penjanaan sisa dan uruskan sisa buangan dengan teratur serta menggalakkan pembelian dan penggunaan produk hijau.

Program Masjid Hijau merupakan antara program induk Rumah Ibadat Hijau yang merangkumi gereja, tokong, kuil serta rumah ibadat lain.

Beliau berkata program Rumah Ibadat Hijau dapat dicapai dengan membina kesedaran amalan hijau dalam kalangan ahli kariah, menerapkan dan mengembangkan budaya gaya hidup hijau serta mewujudkan mekanisme sumbangan Rumah Ibadat Hijau atau Wakaf Masjid Hijau bagi aplikasi teknologi hijau. – HARAKAHDAILY 6/1/2021

Like this article?
Share on Facebook
Share on Twitter
Share on Linkdin
Share on Pinterest