GTFS lulus RM4.536 bilion
KETUA Pegawai Eksekutif Malaysian Green Technology Corporation (GreenTech Malaysia), Shamsul Bahar Mohd Nor. - Foto Rosela Ismail
KETUA Pegawai Eksekutif Malaysian Green Technology Corporation (GreenTech Malaysia), Shamsul Bahar Mohd Nor. – Foto Rosela Ismail

KUALA LUMPUR: Sejumlah RM4.536 bilion diluluskan untuk tawaran pembiayaan menerusi institusi kewangan swasta (PFIs) di bawah Skim Pembiayaan Teknologi Hijau (GTFS) setakat ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Green Technology Corporation (GreenTech Malaysia), Shamsul Bahar Mohd Nor, berkata GTFS yang diperkenalkan sejak 2010 itu sudah ditawarkan kepada 344 projek membabitkan 341 syarikat tempatan.

Katanya, skim pembiayaan untuk menyokong pertumbuhan projek teknologi hijau dan disokong oleh 28 PFIs serta Credit Guarantee Corporation (CGC) itu dilihat sebagai platform terbaik untuk membangunkan sektor teknologi hijau di Malaysia.

Katanya, bagi tempoh 2019-2020, sejumlah RM2 bilion diperuntukkan untuk membiayai lebih 60 projek dengan jumlah pembiayaan bergantung kepada permohonan yang daripada peserta industri.

“Sehingga November 2019, sejumlah 35 projek di tawarkan Persijilan Projek Hijau dari GreenTech Malaysia yang membabitkan kos projek yang berjumlah RM1.5867 bilion dengan kos teknologi hijau berjumlah RM1.1 bilion.

“Daripada jumlah itu, 25 projek berjaya mendapat tawaran pembiayaan dari PFIs yang membabitkan nilai tawaran pembiayaan berjumlah lebih dari RM900 juta. Seterusnya, projek berkenaan perlu mendapat kelulusan dari CGC untuk pengeluaran jaminan bagi mendapat kelulusan penuh skim ini.

“Fokus GTFS adalah sektor tenaga dan biogas dan kami cuba mendapatkan penyertaan daripada syarikat berkaitan pengangkutan dan pembinaan bangunan yang layak mendapat pembiayaan,” katanya ketika ditemui BH, baru-baru ini.

Di bawah GTFS, had maksimum pembiayaan dipecahkan kepada tiga kategori iaitu RM100 juta bagi syarikat pengeluar, RM50 juta bagi syarikat pengguna dan RM25 juta untuk syarikat perkhidmatan tenaga (ESCO).

Shamsul Bahar menjelaskan, GTFS yang mendapat jaminan kerajaan sebanyak 60 peratus dan baki 40 peratus lagi dari bank menjadi pemangkin utama dalam membangunkan sektor tenaga mesra alam sekali gus mampu menjadikan Malaysia antara pemain pasaran penting di peringkat antarabangsa.

Katanya, adalah wajar peruntukan untuk GTFS ditambah bagi membuka lebih banyak peluang perniagaan, selepas ia menjadi satu-satunya skim pembiayaan khusus untuk sektor teknologi hijau di Malaysia.

“GTFS diperkenalkan untuk membantu syarikat tempatan dengan objektif untuk memudahcara syarikat-syarikat untuk mendapatkan pembiayaan keatas pelaburan, iaitu antaranya untuk pengeluaran produk hijau, penggunaan teknologi mesra alam dan aset berkaitan projek tenaga cekap.

“Ia adalah satu langkah yang sangat bertepatan oleh pihak kerajaan selaras dengan matlamat pengurangan karbon kepada 45 peratus pada tahun 2030 dengan kadar semasa sekitar 33 peratus.

“Walaupun ada 10 tahun lagi, ia memerlukan banyak perubahan serta kerjasama dari semua stakeholders termasuklah Kementerian Pengangkutan, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Kementerian Pertanian,” katanya.

Sumber : Berita Harian

Like this article?
Share on Facebook
Share on Twitter
Share on Linkdin
Share on Pinterest