Bursa Malaysia perkenal buku panduan ekonomi karbon rendah
Nik Nazmi (tiga dari kiri) melancarkan Buku Panduan VCM Malaysia sempena IGEM 2023 di Kuala Lumpur, hari ini - NSTP/Saifullizan Tamadi
Nik Nazmi (tiga dari kiri) melancarkan Buku Panduan VCM Malaysia sempena IGEM 2023 di Kuala Lumpur, hari ini – NSTP/Saifullizan Tamadi

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia Bhd melancarkan Buku Panduan Pasaran Karbon Sukarela (VCM) Malaysia, panduan relevan ketika Malaysia beralih ke arah menjadi ekonomi berkarbon rendah.

Buku Panduan VCM adalah usaha sama antara Bursa Malaysia dan Perbadanan Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia (MGTC), dimulakan menerusi memorandum kerjasama (MoC) yang dimeterai pada 20 Februari lalu.

Buku Panduan VCM dibangunkan melalui perundingan dengan Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) dan pelbagai peserta ekosistem.

Menteri NRECC, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata Buku Panduan VCM sangat penting untuk Malaysia bergerak ke hadapan.

“Saya percaya bahawa pasaran karbon boleh muncul sebagai antara pemboleh kewangan untuk menyokong pemacu dalam Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), termasuk pasaran karbon sukarela (VCM),” katanya ketika merasmikan Buku Panduan VCM bersempena Persidangan dan Pameran Teknologi Hijau dan Produk Eko Antarabangsa Malaysia (IGEM) 2023 di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Muhamad Umar Swift; dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MGTC, Shamsul Bahar Mohd Nor.

Sementara itu, Muhamad Umar berkata, Buku Panduan VCM direka bagi membantu entiti yang berminat untuk mengambil bahagian dalam pembangunan projek pasaran karbon dan pasaran karbon sukarela Malaysia.

Katanya, buku panduan itu mentakrifkan peranan dan fungsi entiti utama dalam operasi pasaran karbon Malaysia, berfungsi sebagai titik rujukan untuk peserta pasaran.

“Buku Panduan VCM disiapkan dalam tempoh hanya enam bulan selepas MoC dimeterai, dan ini menunjukkan kerjasama yang berkesan dalam memenuhi keperluan untuk memupuk pembangunan projek karbon di Malaysia.

“Penekanan yang semakin meningkat mengenai pengimbangan karbon dan pasaran karbon di peringkat global, justeru adalah penting bagi Malaysia bertindak atas potensi negara yang belum diterokai, dengan membangunkan ekosistem VCM dan melaksanakan projek karbon berkualiti tinggi.

“Buku Panduan VCM ini langkah kritikal dalam memastikan VCM Malaysia benar-benar dapat menyokong perjalanan sifar bersih negara,” katanya.

Shamsul Bahar pula berkata, Buku Panduan VCM akan menjadi sumber yang berharga untuk memudahkan pelaksanaan projek mengimbangi karbon di Malaysia, di mana kredit karbon yang dijana akan digunakan oleh syarikat lain untuk memenuhi sasaran sifar bersih.

Katanya, ia menyediakan maklumat penting mengenai cara ia berfungsi, konsep utama, metodologi standard dan kajian kes.

Bursa Malaysia dijangka mempromosikan Buku Panduan VCM dan Direktori VCM di Pavilion Malaysia semasa Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bang-bangsa Bersatu (PBB) 2023 (UNFCCC COP 28) di Dubai, akhir tahun ini.

Sumber: Berita Harian

Like this article?
Share on Facebook
Share on Twitter
Share on Linkdin
Share on Pinterest