Impak teknologi hijau
LEBIH mesra kepada alam sekitar jadi pilihan pengguna masa kini.
LEBIH mesra kepada alam sekitar jadi pilihan pengguna masa kini.

KEMAJUAN teknologi pada hari ini sebenarnya banyak memberi kemudahan kepada semua pengguna dalam menghadapi rutin seharian.

Keupayaan teknologi hijau yang lebih mesra kepada alam sekitar turut menjadi pilihan pengguna.

Secara asasnya, teknologi hijau ini merujuk kepada pembangunan serta aplikasi produk, peralatan serta sistem yang bertujuan untuk memelihara alam sekitar serta alam semula jadi, sekali gus mengurangkan kesan negatif kepada alam sekitar hasil daripada aktiviti manusia.

Untuk jangka panjang, pengguna teknologi hijau ini dapat mengurangkan impak negatif terhadap alam sekitar.

Pemain industri utama dunia juga sudah mengorak langkah dengan mempromosikan teknologi hijau ini untuk produk yang dihasilkan.

Penghasilan satu perisian atau aplikasi yang dapat menyelaraskan penggunaan elektrik pengguna mampu memberi kesan positif bukan saja kepada kecekapan guna tenaga, malah pengguna tidak lagi dibebani pembayaran bil yang tinggi.

Ia bukan saja tertumpu kepada rumah kediaman saja, penyelarasan guna tenaga pintar ini lebih memberi kesan kepada bangunan berskala besar serta rumah ibadat seperti masjid yang menggunakan pelbagai bentuk tenaga.

Kewujudan aplikasi penyelaras pintar ini akan menghapuskan masalah pembaziran guna tenaga secara menyeluruh kerana semuanya boleh dikawal hanya menggunakan satu aplikasi.

KEMAJUAN teknologi pada hari ini banyak memberi kemudahan kepada semua pengguna dalam menghadapi rutin seharian.

Seiring dengan kemampuan teknologi berkenaan, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) memanfaatkan kepakaran yang dimiliki penyelidiknya menerusi pembangunan Sistem Masjid Pintar (SMP).

Sistem yang dibangunkan sekumpulan penyelidik Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektronik (FTKEN) diketuai Prof Ir Dr R Badlishah Ahmad itu berfungsi untuk mengawal peralatan elektrik utama seperti lampu, kipas dan penyaman udara menggunakan capaian tablet menerusi akses Internet Kebendaan (IoT).

Dr R Badlishah berkata, melalui aplikasi itu, pihak masjid dapat memantau penggunaan peralatan elektrik dengan lebih mudah dan efisien, sekali gus dapat menyumbang kepada penjimatan penggunaan tenaga elektrik.

Beliau berkata, ia juga selari dengan Agenda Pembangunan Mapan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di bawah turus Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 7: Tenaga Mampu Milik dan Bersih dan SDG 11: Bandar dan Komuniti Lestari.

“Sistem itu buat pertama kali digunakan di Masjid Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang terpilih dalam program perintis Rumah Ibadat Hijau yang dijalankan Malaysian Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC) iaitu agensi di bawah Kementerian Alam Sekitar dan Air (Kasa).

SISTEM Masjid Pintar yang digunakan di Masjid Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

“Melalui program ini, bangunan masjid akan dilengkapi elemen teknologi hijau yang akan menjadikannya bangunan cekap tenaga, cekap air, mesra alam sekitar dan rendah karbon.

“Justeru, UniMAP turut menyumbang beberapa inovasi teknologi termasuk Sistem Masjid Pintar ini,” katanya.

Program itu turut dibangunkan bersama beberapa penyelidik antaranya Prof Madya Ir Dr Sohiful Anuar Murad, Prof Madya Ir Dr Rashidi Che Beson, Prof Madya Dr Zulkarnay Zakaria serta Dr Suhaizar Daud.

UNIMAP manfaatkan kepakaran dimiliki penyelidiknya menerusi pembangunan SMP.

Antara inovasi lain yang dibangunkan UniMAP bagi program itu ialah Sistem Pengumpulan Sisa Pintar Berkuasa Solar, Sistem Penuaian Air Hujan dan Sistem al-Quran Digital.

Sumber : Harian Metro

Like this article?
Share on Facebook
Share on Twitter
Share on Linkdin
Share on Pinterest