Petronas rakan utama Pavilion Malaysia Dubai

PETALING JAYA – Pavilion Malaysia Ekspo 2020 Dubai mengumumkan Petronas sebagai rakan kongsi utamanya di Ekspo Dunia yang akan berlangsung dari 1 Oktober 2021 sehingga 31 Mac 2022.

Dengan aspirasi untuk menjadi rakan bersama dari segi tenaga dan penyelesaian progresif, penyertaan syarikat tenaga nasional itu selari dengan tema ‘Energising Sustainability’ (Memperkasa Kemampanan) yang dibawa oleh Pavilion Malaysia di ekspo berkenaan.

Memandangkan perubahan iklim kini menjadi isu utama bagi komuniti global, Ekspo 2020 Dubai adalah platform yang unik bagi Petronas untuk mempamerkan aspirasi kemampanan dan hala tujunya dalam mencapai Pelepasan Karbon Sifar Bersih, atau net zero carbon emission menjelang 2050.

Penyertaan Malaysia di Expo 2020 Dubai diterajui oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dengan Pusat Perubahan Iklim dan Teknologi Hijau Malaysia (MGTC) sebagai agensi pelaksana.

Ketua Pegawai Eksekutif MGTC, Shamsul Bahar Mohd. Nor berkata, pencapaian Petronas selama ini dan komitmennya untuk membantu membentuk tindakan iklim melangkaui bidang pengaruhnya akan meningkatkan lagi kewibawaan negara dalam bidang kelestarian.

Shamsul Bahar

“Momentum yang semakin meningkat untuk kita beralih kepada karbon rendah sangat penting dan kami berbangga mempunyai salah satu jenama negara yang paling berjaya, iaitu Petronas untuk sama-sama mewakili Malaysia di Ekspo Dunia ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Bertemakan ‘Connecting Minds, Creating the Future’, Ekspo Dunia 2020 akan disertai oleh 192 buah negara dan organisasi.

Acara mega yang diadakan setiap lima tahun itu bertujuan untuk menggalakkan kerjasama global, inovasi, pembangunan teknologi, kemajuan serta pendidikan manusia dan akan diadakan buat julung kalinya di rantau Timur Tengah, Afrika dan Asia Selatan.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Tengku Muhammad Taufik berkata, kerjasama dengan Pavilion Malaysia memberikan pihaknya peluang untuk mempamerkan komitmen dalam pendekatan holistik terhadap kelestarian.

“Kami mendokong usaha untuk merangka jalan menuju ke hadapan yang lebih mampan, dan memacu kematangan amalan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) kami serta merealisasikan aspirasi Pelepasan Karbon Sifar Bersih menjelang 2050,” katanya.

Pavilion Malaysia akan menganjurkan program perdagangan dan perniagaan mingguan bertema yang merangkumi lebih daripada 10 bidang industri, termasuk pendidikan, belia & usahawan teknologi, perdagangan, Industri 4.0 & pembuatan pintar, sains, teknologi dan inovasi, alam sekitar & air, pertanian mampan & penjagaan, kesihatan, pelancongan & budaya, tenaga, e-dagang, industri halal dan kewangan Islam.

Ekspo 2020 akan dibuka secara rasmi pada 1 Oktober 2021. Rakyat Malaysia berpeluang melawat Pavilion melalui platform maya yang akan diumumkan dalam masa terdekat. – K! ONLINE

Sumber : KOSMO

Like this article?
Share on Facebook
Share on Twitter
Share on Linkdin
Share on Pinterest