Ekspo 2020 Dubai bakal tampil beca warisan Malaysia

KUALA LUMPUR, 18 Mac — Basikal roda tiga tradisional Malaysia atau beca bagi masyarakat tempatan, akan ditampilkan sebagai tarikan kepada jutaan pengunjung di Ekspo 2020 Dubai yang dijadualkan berlangsung dari 1 Okt 2021 hingga 31 Mac 2022.

Menurut kenyataan Pusat Perubahan Iklim dan Teknologi Hijau Malaysia (MGTC) hari ini, lapan buah beca yang disumbangkan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) untuk pameran itu, tiba di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan diterima oleh staf Ekspo 2020 pada awal bulan ini. 

Bertemakan ‘Connecting Minds, Creating the Future’, Ekspo 2020 Dubai merupakan pameran global yang disertai oleh 192 negara dan organisasi termasuk Malaysia. 

Ekspo global yang ditadbir oleh Bureau International des Exposition itu dijangka menerima jutaan pelawat dan akan menampilkan inovasi serta idea dan kejayaan dari seluruh dunia bagi membolehkan pelaksanaan tindakan ke arah dunia yang lebih baik.

Pameran selama enam bulan itu turut menjanjikan pelbagai acara harian menarik untuk santapan mata pengunjung serta mengetengahkan teknologi terbaik selain meraikan budaya masyarakat dunia.

Sementara itu, Pengarah Tourism Malaysia Dubai Shahrin Mokhtar berkata ekspo tersebut merupakan antara peluang terbaik Malaysia untuk menarik perhatian jutaan pelawat dari UAE dan juga seluruh dunia. 

“Ini akan memberikan pendedahan tentang negara kita kepada pengunjung serta mencetuskan minat mereka untuk melawat Malaysia,” katanya. 

Beliau berkata beca tersebut merupakan buatan tangan sepenuhnya pembuat beca roda tiga tradisional di Melaka yang mengambil masa kira-kira dua bulan untuk membina dan memasang beca itu.

“Beca menggambarkan ciri unik warisan, budaya dan masyarakat Malaysia. Kenderaan terbabit merupakan mod pengangkutan asal sejak abad ke-20 sebelum ketibaan teksi dan bas awam yang lebih selesa.

“Ribuan beca membentuk sistem pengangkutan Malaysia pada zaman dahulu, khususnya dalam kalangan komuniti Peranakan di Melaka dan Pulau Pinang serta masyarakat Melayu di Kelantan dan Terengganu, yang mana kenderaan itu digunakan untuk mengangkut penumpang dan juga barangan,” katanya.

Menurutnya, kebudayaan dan pelancongan akan menjadi paparan utama yang dipamerkan sepanjang masa di Pavilion Malaysia menerusi segmen ‘Energising Harmony’, di mana pelawat berpeluang melihat secara sekilas keistimewaan Malaysia ‘Truly Asia’  yang memiliki berbagai budaya dengan rakyat pelbagai kaum tinggal secara harmoni, menyumbang kepada kemajuan negara.   

“Kami berterima kasih kepada Ekspo 2020 Dubai atas peluang yang baik ini bagi kami mempromosikan Malaysia sebagai sebuah destinasi yang ideal untuk dilawati oleh masyarakat dari seluruh dunia,” katanya.

MOTAC juga akan menerbangkan rombongan kebudayaan bagi memikat pelawat ekspo dengan persembahan kebudayaan harian serta demonstrasi pembuatan kraf di Pavilion Malaysia.

Pavilion Malaysia bertemakan “Energising Sustainability” dan penyertaan negara ke ekspo itu diketuai oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi manakala MGTC menjadi agensi pelaksana.

— BERNAMA

Like this article?
Share on Facebook
Share on Twitter
Share on Linkdin
Share on Pinterest