Masjid hijau perintis kelestarian

NAMPAKNYA konsep kelestarian ketika ini bukan sahaja dipraktikkan di bangunan komersial, malah diperluaskan sehingga ke rumah ibadat kerana memberi kesan positif terhadap alam semula jadi dan komuniti setempat.

Baru-baru ini Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) menjangkakan 10 masjid di seluruh Malaysia melaksanakan Program Masjid Hijau pada tahun ini dengan menjadikan Masjid Hasanah, Bangi sebagai perintis.

Program Masjid Hijau adalah langkah yang dilaksanakan KASA menerusi agensinya, Malaysia Green Technology and Climate Change Centre (MTGC) untuk menjadikan fungsi masjid bukan sahaja tempat ibadat, malah mampu menyumbang kepada kelestarian.

Menterinya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, menerusi program itu terdapat empat elemen utama yang diterapkan di masjid iaitu penjimatan elektrik, air, urus sisa buangan dan penggunaan produk hijau.

“Sepuluh masjid berkenaan adalah masjid sedia ada yang sudah menjalankan aktiviti kelestarian.

“Dana bagi pelaksanaan projek ini sebahagian besarnya ditampung masjid sendiri dan MGTC akan membantu dari segi khidmat nasihat dan penyeliaan,” katanya pada majlis Pertukaran Dokumen Perjanjian Kerjasama dengan Masjid Hasanah Bangi melalui program Masjid Hijau.

Majlis itu menyaksikan Masjid Hasanah akan menerima manfaat yang menjurus kepada penjimatan dari segi tenaga elektrik dan air melalui penekanan kepada pengurusan masjid bagi membina sebuah persekitaran yang dinamik.

Secara tidak langsung, pihak pengurusan masjid akan menikmati pengurangan kos dengan pengurusan yang lebih efisien dan akhirnya akan menguntungkan semua pihak.

MGTC juga menyampaikan sumbangan RM1,000 kepada Masjid Hasanah melalui inisiatif Wakaf Masjid Hijau sebagai sumber dana permulaan untuk membiayai aktiviti, program penambahbaikan dan pelbagai lagi program di peringkat masjid yang berkaitan dengan usaha pengurangan karbon.

Tuan Ibrahim berkata, konsep Masjid Hijau menekankan dua aspek utama iaitu komitmen pihak pengurusan masjid untuk mentransformasi sistem, pengurusan dan fasiliti masjid ke arah amalan hidup hijau.

“Manakala kedua, sokongan dan penglibatan komuniti untuk turut sama menjayakan inisiatif hijau yang secara tidak langsung akan mengimarahkan masjid.

“Saya amat berharap supaya program ini dapat menjadi pengukur kejayaan konsep Masjid Hijau di Malaysia. Malah, pemeteraian memorandum kerjasama antara kedua-dua pihak dan suntikan dana daripada Wakaf Hijau MGTC membuktikan komitmen untuk terus menjayakan konsep ini,” katanya.

Beliau juga menyeru supaya sektor swasta, NGO, persatuan penduduk dan persatuan belia turut mengambi inisiatif ini kerana alam sekitar adalah tanggungjawab bersama.

Sementara itu, Ketua Biro Pembangunan dan Keceriaan Masjid Hasanah, Yahya Ibrahim berkata, masjid itu memulakan aktiviti kelestarian dengan melaksanakan masjid sebagai pusat pengumpulan bahan kitar semula, pusat mengumpul minyak masak terpakai dan bercadang mewujudkan penggunaan solar pada tahun depan.

Jelasnya, pihaknya juga bekerjasama dengan Jabatan Tanah dan Galian bagi menggunakan air di bawah tanah sebagai sumber air digunakan untuk wuduk pada 2017.

“Menerusi projek kitar semula ini, kami mendapat maklum balas yang baik daripada masyarakat setempat yang meletakkan bahan berkenaan mengikut warna tong dan hasil daripada jualan keseluruhan termasuk minyak masak terpakai bagi tujuan biodiesel ini, pihak masjid mampu mendapat pulangan sehingga RM3,000 sebulan.

“Dari segi penggunaan air bawah tanah pula, pihak masjid dapat mengurangkan kos bil air melebihi 50 peratus sebulan. Jadi, masjid hijau ini bukan sahaja membantu melestarikan alam semula jadi, malah wang itu boleh digunakan untuk pembangunan masjid,” katanya.

Katanya, bagi menjimatkan penggunaan tenaga elektrik, Masjid Hasanah juga dalam proses menukar lampu jenis LED kerana ia dapat membantu menjimatkan penggunaan tenaga elektrik.

Sumber : Harian Metro

Like this article?
Share on Facebook
Share on Twitter
Share on Linkdin
Share on Pinterest