
KUCHING 14 Mac: Perbadanan Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia (MGTC) di bawah Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRES) hari ini mengukuhkan komitmen untuk bekerjasama dengan Kerajaan Sarawak dalam memajukan teknologi hijau serta inisiatif perubahan iklim.
Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Datuk Dr. Hazland Abang Hipni berkata, melalui kerjasama kedua-dua pihak, Sarawak dijangka terus meneraju sektor kelestarian sekali gus menyumbang kepada usaha global.
Menurutnya, Sarawak akan memainkan peranan penting dalam Minggu Kelestarian Kuala Lumpur (KLSS) pada Oktober 2025 yang akan menjadi platform bagi pemimpin ASEAN membincangkan isu net-zero, perubahan iklim dan kewangan lestari.
“Selain itu, Sarawak juga akan turut serta dalam International Greentech & Eco Products Exhibition & Conference Malaysia (IGEM) 2025, pameran perdagangan teknologi hijau terbesar di Asia Tenggara yang akan menonjolkan kemajuan negeri dalam tenaga bersih dan menarik pelabur dalam sektor kelestarian.
“Sarawak turut berpeluang menyerlahkan peranannya dalam Pavilion Malaysia di COP30 di Brazil yang mana mana usaha wilayah ini dalam tenaga boleh diperbaharui dan pengurusan karbon akan dipamerkan di peringkat global,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Beliau berkata, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg turut dijemput untuk menyertai acara tersebut dalam usaha memperkukuh aspirasi hijau negeri di peringkat global.
Semenatara itu dalam kenyataan sama, Hazland menyatakan Sarawak mencapai kemajuan pesat dalam ekonomi hijau, terutamanya dalam sektor tenaga hidrogen, penangkapan dan penyimpanan karbon (CCUS) serta kewangan lestari.
“Dengan inisiatif utama seperti levi karbon Sarawak di bawah Ordinan Alam Sekitar 2023 dan perancangan untuk sistem perdagangan emisi ASEAN, wilayah ini kini berada di barisan hadapan dalam usaha kelestarian serantau,” ujarnya. – TVS
Sumber: TV Sarawak