ABB sedia perluas kerjasama sokong agenda peralihan tenaga Malaysia
ABB Malaysia Sdn Bhd.
ABB Malaysia Sdn Bhd.

KUALA LUMPUR: Syarikat teknologi global, ABB Malaysia Sdn Bhd (ABB) berhasrat untuk memperluaskan kerjasama dengan syarikat tempatan dan agensi kerajaan bagi menyokong agenda peralihan tenaga negara.

Naib Presiden Industri Tenaga ABB bagi Asia Tenggara, Abhinav Harikumar, berkata syarikat itu menjalinkan kerjasama dengan Malaysian Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC) dalam bidang kecekapan tenaga.

“ABB turut bekerjasama dengan institusi pengajian tinggi seperti Universiti Malaya (UM) dan Universiti Teknologi Petronas (UTP) bagi pembangunan kemahiran dalam teknologi pemerangkapan dan penyimpanan karbon (CCS).

“Dengan teknologi yang ada, kami yakin bahawa CCS, hidrogen, dan teknologi lain memerlukan kerjasama menyeluruh untuk memastikan projek ini dapat direalisasikan serta menarik pelaburan yang diperlukan,” katanya pada taklimat media, baru-baru ini.

Abhinav berkata, dalam misi peralihan tenaga, ABB komited untuk terus menjalinkan kerjasama dengan penyedia teknologi lain.

“Kami turut mengalu-alukan komitmen Malaysia dalam mencapai pelepasan karbon sifar menerusi Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).

“Ini kerana, teknologi baharu yang mula diperkenalkan akan memberikan impak besar dalam pengurangan pelepasan karbon dan meningkatkan kecekapan operasi sedia ada dengan mengintegrasikan tenaga hijau.

“Jika dilihat peluang yang ada hari ini, keutamaan adalah menambah baik kebolehpercayaan operasi semasa kerana itu adalah langkah mudah yang boleh diambil,” katanya.

Beliau berkata, ABB turut memberi perhatian kepada peningkatan kecekapan tenaga di pusat data, yang kini mengalami lonjakan permintaan susulan pertumbuhan kecerdasan buatan (AI).

Menurutnya, ABB menyediakan penyelesaian seperti ‘Power Process Simulator’ (Power PP Sim) untuk membantu pusat data mengoptimumkan penggunaan tenaga dan mengelakkan pembaziran tenaga.

“Industri pusat data semakin berkembang, dan ini memberi tekanan kepada grid tenaga. Kami membangunkan teknologi untuk membantu mereka menggunakan tenaga dengan lebih cekap.

“Kami juga membekalkan infrastruktur elektrik yang diperlukan untuk pusat data dan sedang meneroka kaedah bagi mengurangkan kesan penggunaan tenaga industri ini terhadap alam sekitar,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Like this article?
Share on Facebook
Share on Twitter
Share on Linkdin
Share on Pinterest