PUTRAJAYA: Peralihan kenderaan rasmi kerajaan kepada kenderaan elektrik (EV) akan dilaksanakan secara berperingkat bermula tahun hadapan, kata Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad.
Beliau menyatakan bahawa proses peralihan itu telah dimulakan dan akan dimuktamadkan oleh Kementerian Kewangan (MOF) kelak.
“Peralihan ini tidak akan dilaksanakan secara sekaligus; ia akan dilakukan secara berperingkat. Namun, prosesnya sudah pun bermula dan akan dimuktamadkan tidak lama lagi. Insya-Allah, saya rasa menjelang tahun depan kita akan melihat perkara ini dapat dilaksanakan secara praktis,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Garis Panduan Peralihan Kenderaan Kerajaan kepada EV dan Perasmian Stesen Pengecas Pantas EV di sini hari ini.
Ketika ditanya sama ada peralihan itu akan melibatkan semua peringkat atau jabatan tertentu, Nik Nazmi berkata ia bergantung kepada keperluan dan keputusan MOF.
“Ia bergantung kepada keperluan kerana terdapat beberapa aspek yang perlu diambil kira. Dalam garis panduan peralihan kenderaan kerajaan, kita perlu menilai keperluan tersebut, termasuk sama ada peralihan itu boleh dipenuhi oleh EV tempatan atau EV lain,” katanya.
Sementara itu, Nik Nazmi menjelaskan bahawa Garis Panduan Peralihan Kenderaan Kerajaan kepada EV merupakan dokumen panduan yang dirangka oleh Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) melalui Perbadanan Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia (MGTC).
Dokumen ini disusun bersama pakar teknikal dan pihak berkepentingan dari pelbagai kementerian, jabatan, agensi, dan industri. Ia memperincikan strategi peralihan yang merangkumi penilaian inventori ‘fleet’ semasa untuk mengenal pasti keperluan operasi, pemilihan kenderaan elektrik, perancangan infrastruktur pengecasan, serta analisis kos dan pengurangan pelepasan karbon untuk memastikan peralihan yang terancang dan berkesan, sambil memperkukuhkan agenda kelestarian alam sekitar.
“Selain itu, aspek keselamatan, pemantauan, pelaporan, dan latihan juga menjadi keutamaan untuk menjamin kelancaran transformasi ini. Saya percaya, dengan sokongan semua pihak seperti pengurus perolehan dan aset, pengurus kewangan, dan para pemandu, ini akan memberi impak positif dalam pengurusan alam sekitar serta mengurangkan kos operasi dan penyelenggaraan kenderaan kerajaan dalam jangka masa panjang,” katanya.
Beliau juga menyatakan bahawa garis panduan itu bertujuan memastikan peralihan kenderaan kerajaan kepada EV berjalan lancar dan dapat memacu inovasi serta pembangunan ekosistem EV di Malaysia secara mampan.
Pada majlis itu, beliau turut melancarkan Stesen Pengecas Pantas EV yang pertama di Blok F11, Kompleks F, di sini.
Nik Nazmi menjelaskan bahawa stesen pengecasan pantas itu mempunyai kapasiti 60 kilowatt, yang membolehkan EV dicas hingga 80 peratus dalam masa kurang daripada 30 minit, berbanding pengecas biasa jenis arus ulang alik (AC) yang mengambil masa beberapa jam.
“Inisiatif ini juga menyokong visi Putrajaya sebagai Bandar Rendah Karbon menjelang 2025, dengan memperlihatkan Kompleks F sebagai contoh pelaksanaan Zon Rendah Karbon. Projek ini bertujuan mempamerkan inisiatif rendah karbon di premis kerajaan, memudahkan pemilikan dan penggunaan EV melalui penyediaan infrastruktur sokongan, serta menjadi contoh kepada kementerian, jabatan, dan agensi lain,” katanya. – BERNAMA
Sumber: Suara Sarawak