MGTC sasar satu sekolah setiap negeri sertai Projek Bijak Tani

NAZMI Syahrin Kasmurin (dua dari kiri) bersama Fauzi (kiri) dan Pengetua SMK Mantin, P. Susila (kanan) menunjukan mesin pertanian hidroponik bertenaga solar yang akan digunakan untuk tuaian tanaman pada Majlis Perasmian Penyerahan Mesin Hidroponik Berputar di SMK Mantin, Seremban hari ini. NUR SHARIEZA ISMAIL/ KOSMO!

SEREMBAN – Sekurang-kurangnya sebuah sekolah di setiap negeri disasarkan untuk terlibat dalam Projek Bijak Tani oleh Malaysian Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC).

Pengarah Kelestarian Korporat MGTC, Nazmi Syahrin Kasmurin berkata, pihaknya berharap perkara itu dapat dilaksanakan dalam tempoh tiga tahun sebagai usaha memperkasa generasi muda dengan pengetahuan dan kemahiran pertanian lestari.

“Jika dapat sekurang-kurangnya sebuah sekolah di setiap negeri dapat mengusahakan inisiatif ini kerana secara tidak langsung sekolah boleh menjana pendapatan daripada hasil tuaian yang dibuat,” katanya selepas Majlis Perasmian Penyerahan Mesin Hidroponik Berputar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mantin di sini hari ini.

Projek Bijak Tani oleh MGTC ini menggunakan mesin pertanian hidroponik bertenaga solar hasil ciptaan Zull Design Autotranic.

Dijangka seramai 100 pelajar dan tenaga pengajar di sekolah itu dan juga SMK Sungai Burong, Selangor mendapat manfaat daripada projek berkenaan dengan mempelajari teknik penanaman secara hidroponik selain didedahkan dengan amalan pertanian lestari. – KOSMO! ONLINE

Sumber: KOSMO!

Like this article?
Share on Facebook
Share on Twitter
Share on Linkdin
Share on Pinterest