Malaysia mengorak langkah penting dalam teknologi hijau melalui IGEM – Nik Nazmi
Malaysia mencapai kemajuan ketara dalam teknologi hijau sekali gus meletakkan negara sebagai pemain utama pembangunan lestari serta tenaga boleh diperbaharui, kata Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad. Foto hiasan Envato
Malaysia mencapai kemajuan ketara dalam teknologi hijau sekali gus meletakkan negara sebagai pemain utama pembangunan lestari serta tenaga boleh diperbaharui, kata Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad. Foto hiasan Envato

KUALA LUMPUR, 9 Okt: Malaysia mencapai kemajuan ketara dalam teknologi hijau sekali gus meletakkan negara sebagai pemain utama pembangunan lestari serta tenaga boleh diperbaharui, kata Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad.

Beliau berkata perhimpunan seperti Persidangan dan Pameran Teknologi Hijau serta Produk Eko Antarabangsa Malaysia (IGEM) 2024 memberi peluang yang besar kepada Malaysia untuk terus mencapai kemajuan sebagai peneraju dalam tenaga hijau dan boleh diperbaharui.

Nik Nazmi berkata IGEM 2024 menyediakan platform unik kepada kerajaan dan pemain industri untuk terlibat secara langsung, memupuk kerjasama yang mengubah idea menjadi tindakan manakala pelaburan menjadi impak ketara selain menangani cabaran.

“Malaysia telah mencapai kemajuan yang ketara dalam teknologi hijau dan pada IGEM 2023 sahaja, kami mencapai potensi jualan bernilai lebih RM5 bilion yang sekali lagi menekankan kepentingan IGEM sebagai platform untuk pembangunan lestari di rantau ini.

“Dengan bergabung tenaga, kita boleh mengubah halangan menjadi batu loncatan dan memacu perubahan mendalam yang amat diperlukan oleh planet kita,” katanya ketika berucap pada sesi Sambutan Pameran IGEM 2024 di sini hari ini.

Nik Nazmi berkata IGEM 2024 menawarkan peluang terbaik untuk menonjolkan inisiatif berterusan Malaysia dan menunjukkan bagaimana negara menyelaras aspirasi pembangunan dengan agenda kelestarian global.

IGEM 2024, yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dari hari ini hingga Jumaat, merupakan pameran teknologi hijau paling lama di rantau ini anjuran Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) bersama Perbadanan Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia (MGTC), Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) serta The C0_LAB Pte Ltd.

Bertemakan Perlumbaan Ke Arah Sifar Bersih: Kepimpinan Untuk Tindakan Iklim, IGEM 2024 menyasarkan potensi jualan bernilai RM4.8 bilion dan 48,000 pengunjung dari lebih 48 negara.

Nik Nazmi berkata kerajaan komited sepenuhnya untuk memajukan dasar yang memupuk pembangunan lestari selaras dengan ikrar untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050.

Beliau berkata dasar kerajaan tertumpu kepada memastikan kelestarian alam sekitar bukan sekadar tambahan kepada pertumbuhan ekonomi yang merangkumi matlamat mengurangkan pelepasan gas rumah hijau, memperluas kapasiti tenaga boleh diperbaharui serta menggalakkan amalan lestari di semua sektor utama seperti pertanian, pembuatan dan pengangkutan.

“Bagaimanapun, tindakan kerajaan sahaja tidak mencukupi… kita memerlukan kerjasama dengan sektor swasta dan peserta pameran yang hadir hari ini… ini akan mendorong dan membawa perubahan yang bermakna.

“Usaha kami memastikan bahawa IGEM akan tetap relevan seiring kemajuan teknologi dan inovasi pada tahun-tahun akan datang manakala minat utama kami adalah untuk menerima pakai dan menyesuaikan diri dengan perubahan ini selain memastikan pameran berkenaan berfungsi sebagai platform untuk semua pemegang taruh,” katanya.

Pada sebelah pagi berlangsung upacara memotong reben Persidangan ke-29 Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFCCC COP29) oleh Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Huang Tiong Sii.

Turut hadir Ketua Setiausaha NRES Datuk Dr Ching Thoo Kim bersama Timbalan Ketua Setiausaha NRES Datuk Nor Yahati Awang, Setiausaha Bahagian Perubahan Iklim NRES Dr Hartini Mohd Nasir, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbadanan Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia (MGTC) Shamsul Bahar Mohd Nor, Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah MGTC Shareen Shariza Abdul Ghani dan Ahli Lembaga Pengarah MGTC Datuk Leong Kin Mun.

COP29 akan berlangsung di Baku, Azerbaijan dari 11 hingga 22 Nov ini. -TVS

Sumber: TVS

Like this article?
Share on Facebook
Share on Twitter
Share on Linkdin
Share on Pinterest