Laksana program ‘Masjid Hijau’, perkasakan kelestarian alam
Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Datuk Nor Yahati Awang merasmikan Karnival Masjid Bestari, Masjid Al- Hidayah Bandar Behrang 2020, Perak
Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Datuk Nor Yahati Awang merasmikan Karnival Masjid Bestari, Masjid Al- Hidayah Bandar Behrang 2020, Perak

BEHRANG, 11 Mei– Konsep Masjid Hijau harus dilaksanakan secara proaktif oleh pihak masjid di negara ini agar institusi itu menjadi pusat kelestarian alam sekitar dalam memupuk budaya hijau oleh semua ahli kariah.

Ketika berucap merasmikan Karnival Masjid Bestari anjuran Masjid Al-Hidayah, Bandar Behrang 2020 dengan kerjasama Malaysia Green Technology and Team Change Progression (MGTC) dan Politeknik Sultan Azlan Shah (PSAS) hari ini, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Datuk Nor Yahati Awang berharap institusi masjid memperkasakan Masjid Hijau di bawah program Rumah Ibadat Hijau yang digerakkan oleh MGTC.

“Saya menyeru kepada semua masyarakat untuk mengamalkan gaya hidup hijau dan amalan bestari secara berjemaah dan istiqamah di masjid dan surau sekali gus dapat menyumbang ke arah Malaysia yang lebih hijau dan mampan.

Beliau berkata premis masjid yang sedia ada dianggap sebagai cekap air, cekap tenaga dan rendah karbon, malah mesra alam dalam mengurangkan impak kepada persekitaran seperti pencemaran dan pelepasan gas rumah hijau.

Katanya, gaya hidup hijau sebegini, bukan sahaja mendatangkan manfaat seperti penjimatan kos utiliti, bahkan meningkatkan produktiviti masyarakat dan pendekatan teknologi hijau boleh dimanfaatkan dengan optimum.

Beliau turut mengalu-alukan sumbangan dan kolaborasi dari pelbagai pihak supaya program masjid hijau dapat dikembangkan, selain NRES menyokong program anjuran masjid kerana ia membantu agenda ke arah kelestarian alam.

“Masjid boleh melaksanakan program masjid hijau setiap tahun atau setahun dua kali kerana ramai orang Islam yang berkemampuan ingin menyumbang secara sukarela kepada masjid.

Sebagai contoh, projek penukaran lampu, penghawa dingin yang cekap tenaga, pemasangan sistem panel solar, pemasangan bilik cekap air, projek kitar semula serta pembangunan komuniti oleh pihak masjid boleh dimanfaatkan daripada wang sumbangan ahli jemaah atau masyarakat Islam.

Sementara itu, Pengerusi Masjid Al-Hidayah, Rusli Ahmad berkata, masjid yang telah mencapai dua dekad penubuhannya tercetus untuk menyertai rumah ibadah hijau di bawah MGTC, Bank Rakyat serta PSAS sebagai rakan strategik sehingga berjaya menganjurkan Karnival Masjid Bestari untuk kali pertama.

Pengarah program, Fauzi Ghani berkata, antara aktiviti yang dijalankan dalam karnival masjid bestari ini seperti solat berjemaah, kuliah maghrib, isyak dan subuh, dan qiamullail, pertandingan mewarna kanak-kanak, pertandingan memanah, majlis pelancaran karnival masjid bestari, slot ceramah kelestarian alam dan cekap tenaga.

“Pelajar dan komuniti setempat didedahkan mengenai program kesedaran kesihatan oleh Klinik Kesihatan Tanjung Malim, dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan termasuk Persatuan Kebajikan Kanser Payudara Malaysia (BCWA) untuk memberi informasi kesihatan.

Beliau berharap program ini dapat memperkasakan peranan masjid dan membentuk minda ahli kariah supaya lebih berminat untuk mengimarahkan masjid sama ada melakukan ibadah wajib atau aktiviti kebajikan lain.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Green Technology Corporation MGTC, Ir. Ts. Shamsul Bahar Mohd Nor dan Timbalan Pengarah Akademik PSAS, Ts. Salhana Sahidin@Salehudin dan Ketua Jabatan Kejuruteraan Elektrik PSAS, Saiful Adli Yusof serta Timbalan Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat UPSI, Prof Madya Dr Ghazali Din.

Sumber: Berita RTM

Like this article?
Share on Facebook
Share on Twitter
Share on Linkdin
Share on Pinterest