Kempen ‘Jom Beli Produk Hijau’ diteruskan tahun ini – Nik Nazmi
Nik Nazmi ketika Sesi 'Fireside Chat' pada Majlis Penyampaian Hadiah Kempen Beli Produk Hijau di MGTC, Bangi, 22 Feb 2024. --fotoBERNAMA
Nik Nazmi ketika Sesi ‘Fireside Chat’ pada Majlis Penyampaian Hadiah Kempen Beli Produk Hijau di MGTC, Bangi, 22 Feb 2024. –fotoBERNAMA

BANGI: Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) meneruskan kempen “Jom Beli Produk Hijau” pada tahun ini dalam usaha menggalakkan pembelian produk hijau dalam kalangan masyarakat.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad berkata kempen itu yang diadakan selama empat bulan bermula September tahun lepas mencatatkan perkembangan positif.

Kempen berkenaan telah mencatatkan jualan lebih RM250,000 dengan 3,000 barangan atau produk terjual melibatkan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).

“Ini satu usaha positif sebab kerajaan ada dasar perolehan hijau… kami teruskan (kempen ini) tahun ini dan akan maklumkan tentang butiran program beli barangan hijau,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian hadiah kempen “Jom Beli Produk Hijau” di sini, semalam.

Kempen yang dianjurkan pada tahun lepas itu adalah usaha bersama antara Perbadanan Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia (MGTC) dan e-pasaran terkemuka, Shopee Malaysia, dengan memanfaatkan landskap digital untuk menjangkau khalayak yang lebih luas.

Kempen itu akan menampilkan produk hijau yang diperakui di bawah skim pengiktirafan tanda MyHIJAU dan label disahkan hijau lain termasuk barangan isi rumah seperti detergen, cat, produk pembungkusan, peralatan dapur dan kertas.

Nik Nazmi berkata NRES akan mengadakan pelbagai aktiviti dan libat urus bagi menggalakkan lebih ramai pihak menggunakan produk hijau di negara ini.

“Kerajaan juga ada dasar perolehan hijau yang akan ditambah baik,” katanya.

— BERNAMA

Sumber: Astro Awani

Like this article?
Share on Facebook
Share on Twitter
Share on Linkdin
Share on Pinterest