Sudahkah Malaysia bersedia tampung penggunaan kenderaan elektrik?
Pelancaran Tesla Model Y di Bukit Bintang pada 20 Julai 2023. - Foto fail NSTP/Aswadi Alias
Pelancaran Tesla Model Y di Bukit Bintang pada 20 Julai 2023. – Foto fail NSTP/Aswadi Alias

KUALA LUMPUR: Enam tahun lalu, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, antara pemilik terawal kenderaan elektrik (EV) di negara ini, mengelak daripada memandu jauh Tesla miliknya, lantaran bimbang “tersadai” di tepi jalan sekiranya kereta itu kehabisan kuasa sebelum tiba di destinasi yang dituju.

Katanya pada masa itu, bilangan stesen pengecas EV untuk orang awam terlalu sedikit, menyebabkan ramai pemilik kenderaan jenis tersebut berasa bimbang untuk memandu jarak jauh, terutama ke luar Lembah Klang – situasi yang digelar range anxiety atau kebimbangan jarak.

(Kebimbangan jarak merujuk rasa bimbang tentang jarak yang mampu diliputi oleh sesebuah EV selepas sekali cas, atau dengan kata lain, pengguna risau kenderaan kehabisan kuasa bateri di tengah jalan)

“Kereta saya mampu melakukan perjalanan sejauh 400 kilometer selepas sekali cas, jadi tidak ada masalah kalau membabitkan pemanduan harian, terutama selepas dicas semalaman di rumah.

“Pada masa itu, stesen pengecas awam yang ada hanyalah chargEV yang dikendalikan oleh Perbadanan Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim (MGTC), dan saya perlu menyemak di aplikasi untuk mengetahui lokasi stesen berkenaan,” kata pengasas bersama Kelab Pemilik Kenderaan Elektrik Malaysia (MyEVOC) itu kepada Bernama.

Menurut beliau, isu ketersediaan stesen pengecas awam merupakan cabaran terbesar pemilik EV pada masa itu.

MGTC (dahulu dikenali sebagai Perbadanan Teknologi Hijau Malaysia) memperkenalkan chargEV pada 2015 yang berfungsi sebagai instrumen untuk rakyat Malaysia mengenali dan beralih kepada EV.

Bagaimanapun sebahagian besar stesen pengecas awam itu terletak di Lembah Klang serta hanya meliputi sebahagian wilayah selatan Semenanjung, sekali gus menjadi penghalang inisiatif menggalakkan penggunaan EV dalam kalangan rakyat negara ini.

‘GURUN EV’

Mengulas lanjut, Shahrol Azral yang juga bekas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Sumber Petroleum Malaysia, berkata keadaan itu sudah berubah sekarang dengan lebih 12 pengusaha bersaing dalam menawarkan perkhidmatan pengecasan EV di pelbagai lokasi strategik.

“Rangkaian stesen pengecas bagi kawasan Kuala Lumpur-Pulau Pinang semakin luas sekarang, namun untuk perjalanan di pantai timur (Semenanjung) masih ada masalah dan pengguna EV perlu membuat perancangan rapi,” tambah beliau.

Deloitte dalam Kajian Pengguna Automotif Global 2023 Perspektif Asia Tenggara yang diterbitkan pada Mac 2023, mendedahkan cabaran terbesar rakyat Malaysia berhubung penggunaan EV yang dikuasakan oleh bateri itu ialah kekurangan stesen pengecas awam.

Kebanyakan pengguna EV menyifatkan kawasan pantai timur Semenanjung sebagai “gurun EV” disebabkan oleh jumlah stesen pengecas yang terlalu sedikit dan terletak jauh antara satu sama lain.

Bernama melakukan semakan melalui aplikasi PlugShare (platform awam tentang jumlah stesen pengecas berdasarkan laporan pengguna) dan mendapati ketika artikel ini ditulis, terdapat 36 stesen di Pahang, enam di Terengganu dan hanya lima di Kelantan.

Semakan juga menunjukkan Sarawak mempunyai 26 buah sementara di Sabah hanya terdapat tiga stesen pengecas.

Shahrol Azral berkata Pelan Pembangunan Mobiliti Rendah Karbon 2021-2030 menetapkan sasaran penubuhan 10,000 stesen pengecas awam menjelang 2025.

“Setakat Ogos 2023, kita hanya ada 1,246 buah stesen, sementara pembinaan stesen pengecas di lebuh raya pula seakan terhenti sejak yang terakhir dilancarkan oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) – TNB Electron pada Februari tahun ini,” ujar beliau.

Pada 18 September, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pada mesyuarat ke-42 Majlis Perancang Fizikal Negara, kerajaan bersetuju untuk menambah baik proses kelulusan pembinaan stesen pengecas EV melalui Garis Panduan Petak Pengecasan Kenderaan Elektrik dan Prosedur Pemajuan.

Anwar yang menekankan kepentingan ketersediaan infrastruktur pengecasan EV dalam transformasi sektor automotif negara, berkata langkah itu seiring dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara 2023 yang menyasarkan penggunaan EV sebanyak 38 peratus menjelang 2040 dan 80 peratus pada 2050.

Inisiatif ini juga sejajar dengan sasaran 100,000 unit EV di atas jalan negara ini menjelang 2030 dengan 50 peratus daripadanya diunjurkan kenderaan perdagangan. Bagi menyokong penggunaan EV di Malaysia, kerajaan mengumumkan kenderaan jenis itu dikecualikan cukai jalan bagi tempoh hingga 31 Disember 2025.

Menurut Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, setakat ini terdapat lebih 10,000 unit EV didaftarkan di negara ini.

Dalam pada itu, pemain industri berpendapat kerajaan tidak harus bergantung pada sektor swasta semata-mata dalam pembinaan stesen pengecas EV. Sebaliknya kata mereka, usaha tersebut perlu turut melibatkan pihak berkuasa tempatan (PBT).

KAWASAN LUAR BANDAR

Pengarah Urusan EV Connection Sdn Bhd/JomCharge Lee Yuen How berkata walaupun ada penambahbaikan dari segi proses kelulusan dokumentasi bagi pembinaan stesen pengecas, lain pula ceritanya untuk kelulusan peringkat pemasangan.

“Proses pemasangan juga perlukan kelulusan dan perkara ini (mendapatkan kelulusan daripada PBT, tuan tanah dan sebagainya) masih mengambil masa. PBT dan pemilik tanah perlukan lebih banyak bimbingan bagi menambah baik proses kelulusan.

“Kelewatan (proses kelulusan) ini adalah cabaran buat pengendali stesen pengecas dalam membina lebih banyak kemudahan itu. Kadang-kadang proses pemasangan ini, dari awal hingga siap dibina, mengambil masa sampai sembilan bulan,” katanya dalam pembentangan bertajuk ‘Menangani Cabaran Pemilik Awal Kereta Elektrik di Malaysia’ pada sesi sampingan Persidangan Peralihan Tenaga TNB 2023, di sini.

Lee berkata berikutan lebih banyak EV didaftarkan di Malaysia sekarang, ada keperluan untuk mewujudkan lebih banyak stesen pengecas, bukan hanya di hentian lebuh raya antara negeri, kompleks beli-belah dan hotel, tetapi juga di kawasan luar bandar terutama di pantai timur.

“Dari segi penggunaan EV dan pengembangannya, kerajaan boleh membantu dengan menawarkan insentif kepada (pengendali stesen pengecas swasta) bagi merangsang pembinaan stesen di kawasan luar bandar tertentu di pantai timur. Jika tidak, kita terpaksa bergantung pada syarikat ‘kaya’ seperti TNB dan Gentari (Sdn Bhd) untuk menyokong inisiatif di pantai timur ini,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif GoCar Mobility Sdn Bhd Wong Hoe Mun pula berharap kerajaan dapat membantu pengendali stesen pengecas tempatan seperti JomCharge dan Gentari membina lebih banyak stesen dengan meningkatkan kepantasan proses kelulusan selain bekerjasama dengan PBT dan juga melalui dasar kerajaan.

“Pada masa ini tidak banyak PBT yang terlibat dalam pembinaan pengecas awam. Kebanyakan stesen yang tersedia sekarang adalah milik swasta.

“Bagi operator perkongsian kereta seperti kami, alangkah bagusnya jika pelanggan kami boleh mengambil kereta mereka di tempat letak kenderaan PBT, sewa selama beberapa jam dan tinggalkan kereta itu di lokasi lain yang mempunyai kemudahan pengecas awam,” katanya, menambah negara seperti Norway telah lama menawarkan stesen pengecas percuma kepada pengguna EV.

MAMPU MILIK

Selain ketidakcukupan infrastruktur pengecas EV, ada beberapa lagi halangan dalam melonjakkan penggunaan kenderaan elektrik di Malaysia.

Bagi kebanyakan rakyat di negara ini, EV masih terlalu mahal buat mereka sekalipun kerajaan menawarkan insentif pengecualian cukai untuk kenderaan jenis itu.

Jika EV dipasang atau dikeluarkan dalam negara, harga kenderaan itu diyakini dapat diturunkan selain turut menawarkan lebih banyak pilihan kepada pengguna. Namun buat masa ini, pengeluar kereta nasional – Proton Holdings Berhad dan Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) – tidak menawarkan model kenderaan elektrik sepenuhnya.

Bagaimanapun baru-baru ini Perodua dilaporkan berkata ia merancang untuk melakukan pemasangan model EV dalam negara menerusi rakan kongsi dari Jepun, Daihatsu.

Ketua Pegawai Eksekutif Driven Communications Sdn Bhd Paul Tan yang juga blogger automotif, berkata masa yang lebih lama diperlukan untuk menyaksikan harga EV turun setara dengan Perodua Myvi, kereta mampu milik pilihan rakyat negara ini.

Tambah beliau, pengeluaran dan pemasangan EV mesti dilakukan oleh jenama nasional itu.

Pada masa sama, beliau berkata adalah mustahil untuk EV berharga bawah RM100,000 memasuki pasaran Malaysia buat masa ini berikutan sekatan yang ditetapkan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

Dasar Lesen Import (AP) Francais MITI menetapkan sebuah EV CBU (siap sepenuhnya) baharu hanya boleh diimport masuk ke Malaysia jika harga di pasaran tempatan melebihi RM100,000.

Sementara itu, Presiden Persatuan Kenderaan Pelepasan Karbon Sifar (ZEVA) Wan Ahmad Zam Zam Abd Wahab berkata bagi menarik pelabur asing ke dalam sektor pengeluaran EV Malaysia, ada beberapa perkara penting yang perlu diambil kira.

Antaranya ialah perancangan jangka panjang dalam strategi untuk tempoh lima hingga 10 tahun, kestabilan politik dan pelaburan, serta pelan hala tuju yang jelas dari segi terma berhubung penggunaan EV dan ekosistem.

“Dasar dan piawaian yang jelas perlu dilaksanakan oleh kerajaan melalui penubuhan pusat sehenti bagi mengendalikan penggunaan EV serta dasar berkaitan,” tambah beliau.

Pada Mac 2023, kerajaan mengumumkan kemasukan pengeluar kenderaan elektrik Amerika Syarikat, Tesla Motors ke Malaysia, dan pada Julai, gergasi automotif itu mengumumkan pengembangan strategiknya dalam pasaran Malaysia melalui Tesla Malaysia Sdn Bhd.

Menurut kenyataan bersama Tesla dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia, langkah itu adalah susulan pelancaran Inisiatif Peneraju Global Kenderaan Elektrik Bateri oleh MITI.

Di bawah pengembangan strategik itu, Tesla akan menubuhkan ibu pejabat, pusat jualan dan servis di Malaysia. Ia juga akan memasang stesen pengecas pantas, mengambil tenaga kerja tempatan, melatih pelajar serta bekerjasama dengan institusi pendidikan selain berganding dengan syarikat tempatan bagi membangunkan ekosistem untuk infrastruktur pengecas. – BERNAMA

Sumber: Berita Harian

Like this article?
Share on Facebook
Share on Twitter
Share on Linkdin
Share on Pinterest