Search
Close this search box.
Projek tenaga lestari Malaysia menang Anugerah Tenaga ASEAN 2023
Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad.
Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad.

KUALA LUMPUR: Sebanyak 12 projek dari Malaysia memenangi Anugerah Tenaga ASEAN (AEA) 2023 di Bali, Indonesia baru-baru ini, sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga ASEAN (AMEM) Ke-41.

Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC), memaklumkan antara pemenang tempat pertama dalam kalangan projek tenaga lestari Malaysia adalah untuk kategori Anugerah Amalan Terbaik Kecekapan dan Konservasi Tenaga bagiBangunan Hijau (Kategori Besar), yang dimenangi Sekolah Antarabangsa Tzu Chi, manakala bagi Pengurusan Tenaga bagi Bangunan dan Industri (Kategori Bangunan Kecil dan Sederhana), dimenangi Bangunan Lembaga Pelabuhan Johor.

Selain itu, untuk Anugerah Teknologi Arang Batu Bersih bagi Penggunaan Teknologi Arang Batu Bersih (Kategori Industri Besar), dimenangi Stesen Janakuasa Tuanku Muhriz, Jimah East.

NRECC berkata, AEA bertujuan menggalak dan mengiktiraf penerapan amalan tenaga lestari oleh sektor awam dan swasta dalam kalangan negara ASEAN.

Katanya, sebanyak tiga kategori dipertandingkan tahun ini, iaitu Anugerah Amalan Terbaik Kecekapan dan Konservasi Tenaga, Anugerah Projek Tenaga Boleh Baharu serta Anugerah Teknologi Arang Batu Bersih.

“Malaysia mengemukakan 23 penyertaan, terdiri daripada projek yang memenangi Anugerah Tenaga Kebangsaan (NEA) dan daripada jumlah itu, 12 projek berjaya memenangi anugerah di peringkat ASEAN ini,” katanya.

Sementara itu, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad, yang mengetuai delegasi Malaysia ke AMEM Ke-41, berkata kemenangan itu diharap menjadi perangsang kepada pemain industri lain untuk meneruskan usaha penerapan amalan tenaga lestari bagi menyumbang kepada komitmen pengurangan jejak karbon negara.

“Ketika rantau ASEAN sedang menggiatkan usaha ke arah matlamat rendah karbon, kami menyeru lebih banyak industri, syarikat korporat dan individu untuk menerajui usaha berkaitan iklim bagi menggalakkan penerimaan amalan tenaga lestari.

“Di peringkat nasional, NRECC akan meneruskan usaha untuk menggalakkan penerapan amalan terbaik tenaga lestari, termasuk penganjuran NEA bagi memberikan pengiktirafan serta mengenal pasti projek amalan terbaik tenaga lestari,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Like this article?
Share on Facebook
Share on Twitter
Share on Linkdin
Share on Pinterest