PETRONAS anjur Hari Rakan Kerjasama OGSE
Acara berkenaan membuktikan komitmen PETRONAS dalam memperkasakan ekosistem OGSE bagi membolehkan vendor di Malaysia terus berkembang dan berdaya saing.
Acara berkenaan membuktikan komitmen PETRONAS dalam memperkasakan ekosistem OGSE bagi membolehkan vendor di Malaysia terus berkembang dan berdaya saing.

KUALA LUMPUR: PETRONAS menganjurkan Hari Rakan Kerjasama Peralatan, Perkhidmatan, Minyak dan Gas (OGSE) yang mengumpulkan lebih 1,000 pemain utama industri sebagai satu platform untuk berkolaborasi dan memupuk ekosistem OGSE yang lebih berdaya tahan dan mampan.

Naib Presiden Kumpulan Perolehan PETRONAS, Freida Amat berkata, acara ini membuktikan komitmen PETRONAS dalam memperkasakan ekosistem OGSE bagi membolehkan vendor di Malaysia terus berkembang dan berdaya saing serta mampan di peringkat serantau dan global pada masa sama menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

“PETRONAS percaya dengan pendekatan kolektif di antara kerajaan, pemain industri tenaga, sektor awam dan swasta adalah sangat penting kerana sudah tiba masanya untuk semua pihak yang terlibat bekerjasama dengan memanfaatkan kekuatan, kepakaran dan sumber kolektif yang sedia ada untuk membina ekosistem yang rintis dan mampu bertahan serta mendorong ke arah perkembangan industri masa hadapan,” katanya.

Pengurus Besar Kanan Pembentukan Industri dan Kolaborasi Kumpulan Perolehan PETRONAS, Syaharudin Hassan berkata, industri OGSE menyumbang kira-kira 20 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara dan dilihat penting bagi memacu pertumbuhan serta kemajuan ekonomi Malaysia.

“OGSE Partners Day ini adalah usaha berterusan PETRONAS untuk kearah industri perkhidmatan dan peralatan minyak dan gas yang progresif, mampan dan berdaya saing untuk jangka masa panjang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Astro AWANI ketika ditemui di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini pada Khamis.

Acara yang berlangsung pada Khamis itu turut menjadi platform kepada para pemain industri berbincang dan sesi pembentangan (pitching) yang turut diadakan memberi fokus terhadap pelbagai cabaran selain peluang dalam industri termasuk teknologi, bakat, keupayaan serta kemampanan khususnya dalam mendepani peralihan tenaga serta memacu kepada usaha pengurangan emisi.

Acara tersebut juga menyediakan sebanyak 20 buah reruai melibatkan agensi kerajaan termasuk Malaysia Petroleum Resources Corporation (MPRC), Sustainable Energy Development Authority Malaysia (SEDA), Malaysian Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC) dan Peneraju Bumiputra (TERAJU), serta institusi kewangan antaranya Bank Islam, Bank Muamalat, UOB Malaysia, Maybank and RHB yang menyediakan platform kerjasama dengan pemain industri di bawah program “Vendor Financing Programme (VFP)” oleh PETRONAS.

Dalam pada itu, menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Petroleum Resources Corporation (MPRC), Mohd Yazid Ja’afar, program pertama seumpamanya yang dianjurkan itu dilihat positif selepas kesemua pihak berkepentingan dikumpulkan dalam satu tempat dan menjadi platform kerjasama terbaik kepada pemain OGSE negara.

“Acara ini boleh digunakan sebagai platform yang sesuai untuk semua pemain dan pemegang taruh mengutarakan segala pandangan atau cadangan mahupun mencari inovasi penyelesaian yang sesuai bagi segala isu serta kolaborasi khususnya dalam tempoh peralihan tenaga.

“Jika kita lihat penganjuran Hari Rakan Kerjasama OGSE, jumlah penglibatan pemain pada hari ini (Khamis) menunjukkan sokongan yang positif… malah, daripada MPRC atau pihak kerajaan sendiri, kami menyokong sepenuhnya inisiatif dilaksanakan PETRONAS dan mengharapkan ia akan menjadi usaha berterusan,” jelasnya.

Sumber: Astro Awani

Like this article?
Share on Facebook
Share on Twitter
Share on Linkdin
Share on Pinterest