Majlis Lafaz & Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah MGTC

Malaysian Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC) mengadakan Majlis Lafaz & Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) dalam usaha memacu tadbir urus yang lebih baik, budaya integriti dan meningkatkan kesedaran di kalangan warga kerja mengenai amalan bebas rasuah di MGTC.

Ketua Pegawai Eksekutif MGTC, Ts. Shamsul Bahar Mohd Nor berkata, IBR ini memberikan penekanan kepada ikrar dan janji yang dibuat secara sukarela agar sentiasa komited dan bertanggungjawab di dalam melaksanakan tugas seharian.

“Bak kata pepatah, ‘Kerana Nila Setitik, Rosak Susu Sebelanga’. Rasuah mungkin berlaku tanpa melibatkan duit, tetapi melalui perkara yang lain seperti penerimaan sumbangan, menyalahgunakan kuasa dan sebagainya. Jaga pemikiran, tingkah laku, akhlak dan disiplinkan diri. Apa yang kita lakukan, walaupun orang lain tak nampak, Allah swt maha melihat.

Saya yakin semua warga MGTC dapat mengelakkan diri daripada terjerumus dengan perbuatan ini demi menjaga imej baik diri sendiri, keluarga dan MGTC khususnya,” katanya dalam kenyataan.

Majlis yang berlangsung pada 30 Januari 2023 disaksikan Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), TPj Datuk Razim Mohd Noor.

IBR merupakan satu inisiatif diperkenalkan SPRM yang memberi penekanan kepada ikrar dan janji dalam kapasiti individu oleh mereka yang diamanahkan tanggungjawab.

Semoga dengan pelaksanaan program ini akan meningkatkan kesedaran jenayah rasuah dan seterusnya mendorong semua warga MGTC agar menjauhi jenayah rasuah demi menjaga imej baik diri sendiri, keluarga dan MGTC khususnya.

Like this article?
Share on Facebook
Share on Twitter
Share on Linkdin
Share on Pinterest