Search
Close this search box.
Sistem Pengurusan Tenaga Lestari dapat kurangkan impak kenaikan surcaj – MGTC
KUALA LUMPUR –  Perbadanan Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia (MGTC) menggalakkan semua syarikat termasuk firma multinasional yang terkesan dengan kenaiakan kadar surcaj elektrik untuk lebih bijak menguruskan penggunaan tenaga.

Antara perkara yang boleh dilaksanakan ialah mendapatkan pensijilan Energy Management Gold Standard (EMGS) di bawah ASEAN Energy Management Scheme (AEMAS).

Pensijilan ini memastikan sesebuah organisasi melaksanakan sistem pengurusan tenaga lestari (SPTL) yang berperanan sebagai garis panduan asas untuk memastikan penggunaan tenaga secara cekap.
Sejak 2011, pensijilan EMGS ini telah menyaksikan sebanyak 173 organisasi berjaya mencatat RM63.59 juta penjimatan kos tenaga setahun, bersamaan pengurangan penggunaan tenaga sebanyak 174.23 GWj dan 99.87 ktCO2e pengurangan pelepasan gas rumah kaca.

Pensijilan ini juga telah membantu 154 fasiliti kesihatan di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia meningkatkan kecekapan penggunaan tenaga dan mengurangkan kos operasi.

MGTC turut menawarkan latihan tentang penjimatan tenaga melalui program latihan kesedaran Have We Done Enough to Save Energy Bills dan Energy and Water Management Programme.

Kedua-kedua program ini mendidik peserta cara-cara penjimatan tenaga yang boleh digunapakai sama ada dirumah mahupun di dalam organisasi.

Selain itu peserta juga akan didedahkan kepada bagaimana pengurusan tenaga yang efisien dapat menyumbang kepada penjimatan tenaga dan menurunkan kos.

Dari segi pensijilan profesional pula, MGTC turut menawarkan kursus-kursus yang diiktiraf oleh Asean Centre for Energy (ACE) dan Suruhanjaya Tenaga Malaysia seperti kursus Pengurus Tenaga selain kursus Certified Professional Measurement & Verification (CPMV) dan Certified Energy Auditor (CEA).

Katanya, bagi mereka yang bukan dalam kalangan teknikal pula, beberapa kursus jangka pendek juga ditawarkan sebagai asas pengetahuan kepada pengurusan tenaga.

Inisiatif untuk menambah baik prestasi kecekapan tenaga bukan sahaja menyumbang kepada penjimatan kos operasi, malah mencerminkan kesedaran dan komitmen sesebuah organisasi dalam usaha mengurangkan impak operasi terhadap alam sekitar.

Usaha ini selaras dengan aspirasi negara untuk memacu agenda kecekapan tenaga ke arah mencapai pelepasan sifar bersih karbon seawal 2050. – MalaysiaGazette

Sumber : MalaysiaGazette

Like this article?
Share on Facebook
Share on Twitter
Share on Linkdin
Share on Pinterest