Pelantikan beberapa ketua perwakilan diplomatik Malaysia ke luar negara yang baharu menyaksikan Malaysia prihatin dalam meneruskan dan menambah baik hubungan negara ini dengan negara luar.
Mereka yang dilantik mempunyai kelayakan tinggi dan berpengalaman luas sesuai bidang tugas bakal digalas kelak.
Selain daripada membawa idea segar dalam merapatkan lagi kerjasama dua hala, mereka juga bertanggungjawab meraih keyakinan pihak luar lebih-lebih lagi syarikat besar dan pelabur asing untuk melabur ke negara ini.
Ia sekali gus memberi banyak peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia serta membawa manfaat kepada banyak syarikat tempatan untuk memasarkan produk mereka dan menembusi pasaran luar negara.
Perlu diambil perhatian semua negara di dunia dari pelbagai latar belakang ekonomi sedang rancak meneroka destinasi pelaburan lebih stabil pada era pemulihan ekonomi pascapandemik COVID-19.
Persaingan untuk merebut peluang pelaburan amat tinggi dan sengit kerana ia dihadkan kepada negara yang jelas stabil bagi mengelak kerugian dalam memastikan pulangan besar berterusan.
Namun, ketika negara ini berusaha mencapai kestabilan politik dalaman, banyak peluang pelaburan menguntungkan terlepas kepada negara serantau lain.
Ia dapat dilihat melalui kejayaan negara jiran yang bukan sahaja dapat membawa banyak syarikat asing melabur ke dalam negara itu, malah ekonomi mereka turut berkembang sekitar lima peratus setiap tahun secara konsisten sejak kebelakangan ini.
Sebagai contoh, Presiden Joko Widodo (Jokowi) lebih awal membentuk kerajaan lebih bertoleransi dan terbuka apabila tidak meminggirkan pesaingnya untuk dilantik dalam Kabinet Indonesia Maju.
Ini jelas menunjukkan kematangan dan ketegasan Jokowi berusaha membentuk kerajaan demi kebaikan dan kestabilan jangka panjang, melebihi kepentingan peribadi, mahupun kehendak kumpulan tertentu.
Selepas kestabilan dalaman negara dicapai, ia memberi ruang dan peluang untuk meneruskan usaha utama sebenar iaitu mengambil langkah drastik dan pantas bagi memulihkan ekonomi.
Ini dapat dilihat apabila Presiden sendiri banyak mengambil peranan bertindak mewakili negara dalam meneroka dan menarik minat pelabur luar untuk melabur ke dalam negara itu.
Sebagai contoh, Jokowi menyedari matlamat pembangunan mampan (SDG) membuatkan permintaan kepada kenderaan elektrik semakin tinggi di serata dunia, begitu juga komponen terpentingnya iaitu bateri memerlukan banyak bahan mentah.
Menyedari kelebihan negara itu memiliki sumber simpanan bahan mentah nikel terbesar dunia yang amat penting dalam rantaian bekalan utama pembuatan bateri dan enjin roket, Indonesia melarang eksport terus nikel tidak diproses ke luar. Sebaliknya ia mesti dibangunkan dahulu sebagai produk tertentu dalam negara.
Presiden Jokowi bertemu dan berbincang dengan Ketua Pegawai Eksekutif syarikat kenderaan elektrik gergasi dunia Tesla dan pemilik syarikat pengangkutan angkasa lepas SpaceX, Elon Musk supaya membuka perusahaan bateri kenderaan elektrik di negaranya.
Contoh ini jelas, strategi dan tanggungjawab serupa adalah amat besar untuk digalas perwakilan diplomatik Malaysia. Oleh itu, setiap perwakilan diplomatik Malaysia harus mengetahui kelebihan dimiliki negara dengan lebih jelas supaya mampu dibawa pada rundingan diplomatik bagi meyakinkan bakal pelabur luar masuk ke negara ini.
Diplomat Malaysia perlu lebih cakna
Mereka juga perlu mengenal pasti kelebihan dan potensi syarikat di negara lain yang boleh membawa manfaat kepada ekonomi Malaysia dan rakyat. Selain itu, mereka tidak dapat lari untuk lebih cakna dengan perubahan hala tuju ekonomi dunia lebih dinamik pada masa akan datang.
Dasar ekonomi dunia kini menuntut peralihan kebergantungan tenaga bahan api fosil kepada tenaga boleh diperbaharui dalam memastikan pelepasan bersih sifar karbon.
Langkah ini ditetapkan bagi memastikan kegiatan ekonomi manusia sejagat tidak memburukkan perubahan iklim bumi. Jika pelepasan karbon tidak dikawal, ia menyumbang kepada peningkatan suhu bumi, hakisan pantai dan banjir.
Perubahan dasar ini menyaksikan lebih banyak permintaan terhadap kenderaan elektrik berasaskan bateri dan hidrogen beberapa tahun lagi.
Manfaatkan potensi pasaran EV
Semua pihak yang ingin pelaburan luar masuk ke dalam negara perlu menyedari Malaysia harus segera membabitkan diri dalam industri kenderaan elektrik (EV). Pasaran EV di negara ini dijangka berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan dikompaun (CAGR) lebih 31 peratus menjelang 2030.
Jika negara jiran berjaya menjadi pembuat dan pengeluar bateri terbesar dunia, maka negara kita seharusnya mengambil peluang menjadi hab pemasangan dan pemasaran EV di rantau ini.
Dalam industri pembuatan EV, Malaysia menjadi hab pemasangan EV Volvo. Lebih banyak lagi syarikat luar patut dipelawa untuk membuka kilang di Malaysia dan menjadikan negara ini hab pemasangan EV pelbagai jenama.
Malaysia mempunyai tenaga pakar diperlukan dalam industri ini dan mampu menawarkan kos tidak begitu tinggi. Dengan permintaan terus meningkat, kita juga perlu belajar dan menghasilkan EV sendiri yang lebih mampu milik untuk semua lapisan masyarakat.
Langkah ini perlu disokong dengan penambahan infrastruktur pengecasan pantas seperti dibangunkan Perbadanan Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia (MGTC) serta Tenaga Nasional Bhd (TNB) pada program ChargeEV.
Sebenarnya, usaha menarik pelabur luar dalam industri pembuatan EV adalah salah satu daripada banyak lagi langkah lain mampu membantu negara meningkatkan ekonomi pada masa akan datang.
Namun, usaha ini tidak hanya bergantung kepada peranan diplomat untuk menarik pelabur luar datang ke negara ini. Ia juga menuntut pentadbiran dalaman negara dijalankan dengan lebih lancar, telus dan bebas rasuah.
Ini menjadi faktor utama bagi meraih keyakinan pelabur asing sebelum mempertimbangkan pelaburan mereka ke dalam negara ini.
Oleh yang demikian, semua pihak perlu menjalankan peranan mereka dengan lebih baik dan berkesan supaya hasrat memajukan negara dapat dicapai dengan lancar pada kadar segera.
Penulis adalah Pensyarah Kanan Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Sumber : Berita Harian