MGTC sasar 2,000 syarikat industri hijau tawar 10,000 peluang kerja
SHAMSUL BAHAR MOHD NOOR
SHAMSUL BAHAR MOHD NOOR

PUTRAJAYA: Malaysian Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC) menyasarkan sebanyak 2,000 syarikat industri hijau akan berdaftar dalam Portal Pekerjaan Hijau.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Shamsul Bahar Mohd. Noor, jumlah disasarkan itu bakal menawarkan sehingga 10,000 peluang pekerjaan antara tahun ini sehingga 2025 kelak.

“Kita hendak banyak syarikat baharu dalam bidang hijau untuk berdaftar dengan MGTC dan antara cara dibuat ialah melalui portal kerjaya ini,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Terdahulu, beliau menyaksikan pelancaran portal hasil inisiatif MGTC itu oleh Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang diaktifkan sejak Oktober 2021 lalu.

Ia dibangunkan secara bersama antaranya dengan pihak Kementerian Sumber Manusia, Pertubuhan Keselamatan Sosial serta Persatuan Syarikat Perkhidmatan Hijau Se-Malaysia.

Setakat hari ini, portal menerusi www.greenjobsmalaysia.my itu sudah ada 400 syarikat hijau berdaftar yang menawarkan 40 jawatan dengan bilangan pencari kerja pula ialah 293 orang.

Kerajaan menyasarkan lebih 200,000 pekerjaan hijau bakal disediakan menjelang 2030 kelak sejajar dengan hasrat Pelan Induk Teknologi Hijau Negara yang dilancarkan pada 2017 lalu.

Mengulas lanjut, Shamsul Bahar berkata, setakat ini sejumlah 147,410 pekerjaan hijau wujud di seluruh negara berdasarkan laporan daripada Pelan Kelestarian Alam Sekitar Malaysia 2021.

“Ini bermakna kita di landasan tepat namun masih banyak syarikat hijau belum sedar kena berdaftar dengan MGTC untuk dapat banyak insentif termasuk pensijilan khas MyHijau,” katanya. –UTUSAN

Like this article?
Share on Facebook
Share on Twitter
Share on Linkdin
Share on Pinterest