Search
Close this search box.
Malaysia mampu jadi pengeluar utama hidrogen hijau
Ketua Pegawai Eksekutif MGTC, Shamsul Bahar Mohd Nor - NSTP/Rohanis Shukri
Ketua Pegawai Eksekutif MGTC, Shamsul Bahar Mohd Nor – NSTP/Rohanis Shukri

BANGI: Malaysia mempunyai potensi untuk menjadi pengeluar utama hidrogen hijau di dunia yang kini mempunyai permintaan tinggi sebagai sumber tenaga bersih.

Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Perubahan Iklim dan Teknologi Hijau Malaysia (MGTC), Shamsul Bahar Mohd Nor, berkata negara seperti Jepun kini menjadikan hidrogen sebagai sumber tenaga utama dari sumber elektrik sehingga kepada kenderaan.

Malah, katanya negara seperti Jerman dan Korea Selatan juga sedang giat meneroka potensi sumber hidrogen hijau untuk dijadikan sebagai sumber tenaga untuk menjana kuasa kenderaan.

“Pembangunan hidrogen hijau akan menjadi antara tumpuan utama MGTC dalam penghasilan sumber tenaga bersih di Malaysia. Antara kelebihannya dalam membangunkan ekonomi hijau dan mengurangkan pelepasan gas rumah kaca adalah hidrogen mempunyai ketumpatan tenaga yang lebih tinggi (lebih kurang tiga kali ganda diesel dan petrol) dan menghasilkan air apabila dibakar sekali gus memastikan tiada pencemaran dan turut mampu membawa kenderaan lebih jauh daripada kereta biasa.

“Sebagai contoh, Toyota Mirai yang menggunakan hidrogen sebagai sumber tenaga, mampu pergi sejauh 1,360 kilometer jika diisi sebanyak lima kilogram, lebih jauh berbanding petrol.

“Malah, jika dibandingkan dari segi kos bagi setiap kilometer, penggunaan hidrogen adalah lebih murah iaitu kira-kira lapan sen untuk satu kilometer manakala petrol pula di antara 20 hingga 30 sen satu kilometer,” katanya kepada BH baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Shamsul Bahar berkata, walaupun seluruh rantau ASEAN memberi tumpuan kepada kenderaan elektrik (EV), pihaknya turut mempunyai sasaran untuk menjadi hab pengeluar hidrogen hijau di Asia Tenggara.

“Ketumpatan tenaga gravimetrik hidrogen yang unggul menjadikannya alternatif yang paling sesuai untuk penyimpanan berskala besar tenaga boleh diperbaharui, dengan potensi besar untuk menggantikan mod penjanaan tenaga sedia ada sebagai sumber bahan api yang lebih bersih dengan pelepasan karbon sifar.

“Dengan hidrogen sebagai sumber tenaga utama masa hadapan, Malaysia mampu membayangkan prospek Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) hijau di mana aktiviti ekonomi kita menghasilkan lebih banyak produk hijau dengan kesan sifar bersih terhadap alam sekitar berbanding penggunaan karbon,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, MGTC kekal teguh dalam memacu agenda pengurangan pelepasan gas rumah hijau (GHG) Malaysia melalui penyelesaian karbon rendah seperti transformasi pusat bandar Malaysia kepada Bandar Rendah Karbon (LCC) yang disokong oleh Rangka Kerja Bandar Rendah Karbon (LCCF).

Katanya, MGTC mendesak penggunaan LCC pada peringkat perbandaran, bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk melaksanakan lebih banyak sistem cekap tenaga di seluruh bangunan, sistem pengangkutan awam, pengurusan sisa dan landskapnya.

“Ini boleh dicapai melalui pengenalan penuaian air hujan, panel solar, bas elektrik, pencahayaan cekap tenaga, inisiatif pengkomposan dan kitar semula, laluan pejalan kaki dan laluan berbasikal. Semuanya berpotensi mengurangkan kebergantungan tenaga negara pada grid elektrik tenaga arang batu, tumbuh-tumbuhan dan meningkatkan penggunaan gaya hidup yang lebih hijau dalam kalangan penduduk.

“Untuk itu, melalui program Cabaran Bandar Rendah Karbon 2030 (LCC2030C) yang dilancarkan pada 2019 bagi mempercepat serta menarik lebih ramai PBT dan institusi Pendidikan dalam pengurusan cekap tenaga telah merekodkan pendaftaran daripada 42 Zon Rendah Karbon dengan 68 Rakan Kongsi Rendah Karbon pada 2021.

“Kami berharap untuk melihat lebih banyak majlis perbandaran dan pemaju hartanah memainkan peranan memajukan agenda ini kerana MGTC terus menyokongnya pelaksanaan dengan menyediakan kemudahan yang diperlukan termasuk geran pembiayaan Kementerian Kewangan (MoF), garis panduan reka bentuk bandar, metodologi pengukuran dan pelaporan, program penilaian dan pengiktirafan serta strategi rendah karbon yang lain,” katanya.

Sumber : Berita Harian

Like this article?
Share on Facebook
Share on Twitter
Share on Linkdin
Share on Pinterest