MGTC, Paut jalin kerjasama sokong kelestarian
Shamsul Bahar (kiri) bertukar memorandum kerjasama antara Paut dengan MGTC pada majlis makan malam Paut ke-10 di Bangi, semalam. Bernama

Bangi: Persatuan Alumni Universiti-Universiti Texas (Paut) menjalin kerjasama dengan Pusat Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia bagi menyokong kelestarian di dalam lima Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

Ketua Pegawai Eksekutif MGTC Shamsul Bahar Mohd Nor berkata, pihaknya menjadi rakan kolaborasi bagi mendokong tanggungjawab ke arah masa depan lestari.

“Ia selaras dengan Matlamat Pembangunan Lestari. MGTC berhasrat menggalakkan gaya hidup lestari bagi mengekalkan kelestarian persekitaran supaya generasi masa hadapan bileh menikmati persekitaran lebih terjamin.

“MGTC mengalu-alukan kesungguhan Paut dalam berganding bahu bagi menjayakan agenda Matlamat Pembangunan Lestari Negara ke arah ‘ Net Zero Emission Nation’ pada tahun 2050,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri majlis menandatangani kerjasama (MoC) antara Paut dan MGTC di sini, semalam.

Terdahulu dalam program sama, kira-kira 225 ahli Paut mengadakan majlis makan malamnya yang ke-10.

Presiden Paut Mohamed Amin Abdullah berkata, semua pihak perlu mengambil bahagian dan memilih gaya hidup lestari dan menjaga alam sekitar yang sangat terancam.

“Bagi pihak Paut, saya bersyukur kerana Paut dapat menjalankan banyak aktiviti kemasyarakatan dengan sokongan penuh ahli Paut,” katanya.

Sumber : Harian Metro

Like this article?
Share on Facebook
Share on Twitter
Share on Linkdin
Share on Pinterest