SEPANG: Sebanyak 25 belia lahir daripada program Malaysia Future Leaders School (MFLS) terpilih mewakili belia Malaysia untuk mengambil bahagian dalam program-program berkaitan belia di Ekspo 2020 Dubai.
Mereka yang terpilih, antara calon terbaik daripada 240 peserta MFLS Tier 3 tahun 2020 anjuran Kluster Kepimpinan Institut Pembangunan dan Kecemerlangan Kepimpinan (i-LEAD), Kementerian Belia dan Sukan (KBS), berlepas ke Dubai semalam bagi menyertai pelbagai program yang dirangka sehingga 11 Disember ini.
Ketua Pengarah i-LEAD Mohd Haswandi Ahmad berkata peserta ke Ekspo 2020 Dubai itu diharap dapat menimba pengalaman sebanyak mungkin melalui pertemuan-pertemuan dengan para belia ketika di sana merangkumi pelbagai bidang.
“Apabila mereka balik ke Malaysia, mereka akan menjadi jurucakap kita dan di i-LEAD sendiri, mereka akan menjadi fasilitator bagi program berkaitan kerjaya, modal insan, kepimpinan dan kenegaraan,” katanya kepada Bernama selepas sesi pelepasan delegasi Malaysia ke Dubai di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini.MFLS menggantikan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dan Biro Tatanegara (BTN) yang dirangka secara holistik dengan menggabungkan kegiatan dalaman dan luaran berimpak tinggi.
MFLS Tier 1 melibatkan proses saringan bagi memilih peserta yang layak ke peringkat Tier 2 bagi mengikuti program MFLS selama 10 hari di pusat-pusat latihan terpilih. MFLS Tier 3 pula menyaksikan pelaksanaan konsep pengantarabangsaan belia yang berlangsung selama dua bulan.
Menurut Mohd Haswandi, MFLS kini mempunyai lebih 30,000 alumni.”MFLS ini usahasama beberapa kementerian termasuk Kementerian Pendidikan (KPM) bertujuan melahirkan pemimpin muda dengan pelbagai teras, dengan melihat kepada latar belakang peserta yang aktif dalam kokurikulum dan cemerlang dalam bidang akademik,” katanya.
Ketika di Ekspo 2020 Dubai, peserta belia Malaysia akan terlibat dalam sesi pembentangan dan perkongsian informasi berkaitan elemen Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), sesi jaringan antarabangsa yang antaranya menemukan usahawan belia Malaysia dengan usahawan dari pelbagai negara dan latarbelakang, serta program Dialog Antara Pemimpin Masa Depan Serantau di Pavilion Malaysia.Mohd Haswandi turut memaklumkan Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) KBS Abdullah Hasan selaku Ketua Delegasi KBS ke Ekspo 2020 Dubai telah berada di negara berkenaan bagi memastikan segala program berjalan lancar.Dalam pada itu, beliau memaklumkan MFLS Tier 3 2021 pula akan berlangsung pada 17 hingga 26 Dis di Kuala Lumpur melibatkan peserta terpilih dari seluruh negara.
Sementara itu, ketua delegasi Ahmad Fareez Zulhaqeem Ahmad Zahadi,19, melahirkan rasa teruja dan bangga kerana terpilih menyertai Ekspo 2020 Dubai selain dapat mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti yang dirancang bagi peserta MFLS.”Saya harap dapat menimba ilmu sebanyak mungkin untuk membangunkan belia Malaysia,” kata pelajar semester empat
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) itu.E.Sharvin,19, pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM), berharap tanggungjawab dan kepercayaan diberikan KBS kepada setiap peserta tidak disia-siakan, dan akan digunakan sebaik mungkin ketika di ekspo nanti.Ekspo 2020 Dubai berlangsung mulai 1 Okt 2021 hingga 31 Mac 2022 dengan tema ‘Menghubungkan Minda, Menciptakan Masa Depan’. Penyertaan Malaysia di ekspo berkenaan diterajui Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, manakala Pusat Perubahan Iklim dan Teknologi Hijau Manusia (MGTC) sebagai agensi pelaksana.– BERNAMA
Sumber : Astro Awani