Search
Close this search box.
Bekalan Elektrik Mencukupi Diperlukan Sebelum Beralih Kepada EV, Kata Azmin Ali

Perlu ada bekalan elektrik yang mencukupi untuk pengguna dan industri sebelum negara boleh beralih kepada penggunaan kenderaan elektrik (EV) yang lebih meluas, kata Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. 


Ujarnya, keperluan penggunaan tenaga negara itu perlu diberi perhatian serius dari segi peralihan kepada kenderaan EV atau kenderaan cekap tenaga (EEV) bagi menggantikan kenderaan yang dijana secara enjin pembakaran dalaman (ICE), lapor Bernama.  

*Kredit foto: Malay Mail 

Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) itu memberitahu Dewan Rakyat bahawa Unit Perancang Ekonomi (EPU) sedang merangka Dasar Tenaga Negara untuk memastikan bekalan yang mencukupi, bukan sahaja untuk pengguna, malah sektor perindustrian dan isi rumah.  

Ini berikutan soalan yang dikemukakan Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz (PAS-Bachok) mengenai strategi khusus kerajaan untuk menarik pelaburan dalam sektor pengilangan komponen EV, tumpuan terhadap kenderaan hibrid dan elektrik berbanding EEV. 

Beliau juga menyatakan bahawa Pusat Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia (MGTC) di bawah Kementerian Alam Sekitar dan Air telah bekerjasama dengan sektor swasta untuk membangunkan infrastruktur sokongan, termasuk stesen pengecasan.  

Beliau berkata ini adalah antara usaha yang dilakukan untuk membangunkan Malaysia sebagai hab automotif untuk EEV dan EV selaras dengan Dasar Automotif Negara yang diumumkan tahun lepas.  

Mengenai pelaburan asing ke arah merealisasikan matlamat ini, Azmin menyatakan bahawa sebuah syarikat Korea Selatan telah bersetuju untuk melabur RM4.24 bilion untuk menubuhkan sebuah kilang di Sabah untuk mengeluarkan gegelung tembaga dan bateri kenderaan EV.  

Beliau juga berkata bahawa misi pelaburan ke Eropah baru-baru ini, menyaksikan perbincangan diadakan dengan beberapa pengeluar kereta yang sedang beralih  untuk memperkenalkan teknologi EV.  

“Salah seorang daripada mereka telah memutuskan untuk menubuhkan sebuah kilang di Gurun, Kedah, yang akan memberi kita peluang untuk membangunkan teknologi tinggi, berketepatan tinggi dan teknologi hijau,” tambahnya. 

Terdahulu, beberapa insentif disediakan di bawah Bajet 2022 bagi menggalakkan lagi penggunaan EV dalam kalangan rakyat Malaysia.  

Antaranya, pengecualian duti import bagi unit terbina sepenuhnya (CBU), pengecualian cukai jalan dan pelepasan cukai RM2,500 untuk pembelian kenderaan EV dan peralatan berkaitan. 

Namun, limitasi stesen pengecasan misalnya, menimbulkan persoalan sejauh mana negara kita boleh mengadaptasi kenderaan EV sebagai mod pengangkutan utama, berbanding kenderaan ICE yang sedia ada? 

Semoga Dasar Tenaga Negara ini menjadi titik permulaan yang baik untuk pembangunan sektor kenderaan EV di Malaysia, sekaligus merealisasikan negara bebas karbon menjelang 2050.  

Sumber : Carlist

Like this article?
Share on Facebook
Share on Twitter
Share on Linkdin
Share on Pinterest