Search
Close this search box.
Pavilion Malaysia dibuka secara rasmi
Pavilion Malaysia di Ekspo Dubai 2020

PUTRAJAYA: Pavilion Malaysia yang bertempat di Ekspo Dubai 2020 dibuka secara rasmi hari ini dengan menampilkan pavilion kanopi hutan hujan.

Pemasangan bersifat karbon sifar seluas 1,234,56 meter persegi, bertemakan ‘Energizing Sustainability’, bertujuan untuk menyampaikan visi lestari Malaysia dalam ekspo selama 26 minggu itu.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata penyertaan Malaysia dalam Ekspo Dubai 2020 menekankan komitmen negara untuk kerjasama antarabangsa dan memulakan dialog mengenai cabaran termasuk peluang bersama dalam sains, teknologi dan inovasi (STI).

“Ekspo Dubai 2020 membuka peluang daripada pelbagai sudut termasuk untuk meningkatkan perdagangan serta hubungan dua hala Malaysia dengan Emiriah Arab Bersatu (UAE) selain daripada negara-negara peserta yang lain,” katanya dalam ucapannya sempena pembukaan penstriman langsung Pavilion Malaysia.

Ucapan Dr Adham dibacakan oleh Duta Besar Malaysia ke UAE, Mohd Tarid Sufian.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Perubahan Iklim dan Teknologi Hijau Malaysia (MGTC), Shamsul Bahar Mohd Nor.

Penyertaan Malaysia di Ekspo Dubai 2020 Dubai diterajui oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), manakala MGTC sebagai agensi pelaksana.

Tema Ekpso Dubai 2020 adalah ‘Menghubungkan Minda, Menciptakan Masa Depan’ dan berlangsung mulai 1 Oktober 2021 hingga 31 Mac 2022.

Lebih daripada 25 juta pengunjung dijangka tiba bagi menghadiri salah satu acara langsung terbesar sejak pandemik COVID -19.

Mengenai konsep estetika Pavilion Malaysia, Dr Adham memberitahu ia melambangkan komitmen negara untuk pembangunan lestari dan menegaskan kembali visi Malaysia bagi mengimbangi pembangunan sosioekonomi dengan cabaran alam sekitar.

Katanya, Ekspo Dubai 2020 akan memperkukuhkan prospek dalam mencapai antara RM8 bilion hingga RM10 bilion potensi perniagaan melalui peluang perdagangan dan pelaburan.

Lebih kurang 40 memorandum persefahaman (MoU) dijangka akan ditandatangani pada tingkat perniagaan ke perniagaan (B2B), kerajaan ke kerajaan (G2G) dan kerajaan ke perniagaan (G2B) pada ekspo berskala global itu.

Menurut Dr Adham, perwakilan Malaysia di pameran itu akan membabitkan penyertaan 21 kementerian persekutuan, 70 agensi kerajaan serta lima kerajaan negeri.

Kira-kira 300 syarikat Malaysia akan mengambil bahagian dalam program perdagangan dan perniagaan mingguan yang merangkumi enam kelompok industri tematik.

Ini merangkumi sains, teknologi, inovasi dan persekitaran, perdagangan serta revolusi industri keempat, kesihatan, pendidikan, pelancongan dan ekonomi digital, keusahawanan serta tenaga, pertanian, komoditi tani termasuk air serta kelestarian.

-BERNAMA

Sumber : Berita Harian

Like this article?
Share on Facebook
Share on Twitter
Share on Linkdin
Share on Pinterest