Alliance Bank lancar Cabaran EcoBiz musim ke-4
Cabaran EcoBiz Alliance Bank

KUALA LUMPUR: Alliance Bank Malaysia Bhd dengan kerjasama Malaysian Green Technology and Climate Change Centre (MGTC), melancarkan Cabaran EcoBiz musim keempat dengan tema ‘Menginspirasikan Malaysia menjadi Negara Sifar Sisa (Zero Waste)’.

Alliance Bank dalam satu kenyataan berkata, Cabaran EcoBiz 4 akan menggabungkan program pembelajaran komprehensif MGTC, iaitu Jana Graduan Usahawan Hijau (JaGUH) yang merangkumi tempoh 20 minggu.

“Pelajar diberikan panduan dan nasihat oleh pemimpin industri dan mentor kelestarian meliputi bidang pembangunan modal perniagaan sosial, teknologi hijau dan inovasi, perdagangan sosial digital serta sikap minda dan kemahiran peribadi insani,” katanya.

Cabaran EcoBiz ialah pertandingan bertemakan alam sekitar di mana pelajar pengajian tinggi membangunkan penyelesaian perniagaan yang mapan untuk menangani isu alam sekitar, ekonomi atau sosial.

Program pembelajaran selama lima bulan itu dibuka kepada semua pelajar pengajian tinggi yang mengikuti pengajian di kolej atau universiti di Malaysia.

Permohonan dibuka mulai 27 September 2021 hingga 23 Oktober 2021 dengan pemohon akan disenarai pendek secara berperingkat.

Hanya 10 pasukan terbaik yang akan dipilih untuk menjalani latihan dan bimbingan selama 20 minggu menggunakan sukatan JaGUH.

Pada akhir latihan terbabit, finalis akan berpeluang untuk mempersembahkan projek mereka kepada juri dengan pasukan yang menang akan membawa pulang wang tunai sebanyak RM10,000, manakala naib juara pertama dan kedua masing-masing akan membawa pulang RM5,000 dan RM3,000.

Tujuh pasukan lain akan menerima RM1,500 setiap satu.

Sejumlah 10 pasukan pemenang akan menjalani program enam bulan meliputi cara meningkatkan jualan, pembabitan pelanggan serta topik perniagaan penting lain selepas berakhirnya Cabaran EcoBiz.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Alliance Bank, Joel Kornreich, berkata Cabaran EcoBiz penting kerana ia membantu syarikat itu mengenal pasti dan membimbing usahawan sosial muda membangunkan penyelesaian lestari untuk Malaysia.

“Sepanjang 3 musim yang lalu, kita telah menyaksikan bagaimana Cabaran EcoBiz memberi inspirasi kepada anak muda Malaysia untuk berinovasi dan meningkatkan kehidupan masyarakat.

“Kami mahu mendengar lebih banyak idea yang inovatif daripada warga muda tentang cara menangani tema tahun ini iaitu pengurusan sisa,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MGTC, Ts Shamsul Bahar, berkata, sebagai sebuah agensi di bawah Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA), ia diberi mandat untuk menggalakkan teknologi hijau, mengurangkan perubahan iklim dan meningkatkan gaya hidup hijau.

“Kami telah memperkenalkan pendekatan JaGUH untuk membimbing perusahaan, peluang pekerjaan dan usahawan hijau daripada kalangan graduan. Sebagai sebahagian daripada strategi kami untuk memacu ekonomi, kami menggalakkan penubuhan perniagaan yang memberi impak yang rendah kepada alam sekitar.

“Pendekatan JaGUH membolehkan kami memanfaatkan daya inovasi belia dan pada masa yang sama menyediakan platform kepada mereka untuk menyumbang ke arah menghijaukan ekonomi,” katanya.

Sementara itu, Cabaran EcoBiz mempromosikan budaya pemeliharaan alam sekitar di kalangan pelajar universiti melalui platform pembelajaran yang kompetitif dan kerjasama dengan industri.

Selain itu, cabaran berkenaan bertujuan untuk meningkatkan kesedaran tentang alam sekitar di kalangan pelajar dan mendorong mereka untuk membangunkan perusahaan sosial yang lestari.

Sumber : Berita Harian

Like this article?
Share on Facebook
Share on Twitter
Share on Linkdin
Share on Pinterest