Kuala Lumpur: “Kemerdekaan negara yang dikecapi lebih enam dekad seakan-akan tidak bererti jika kita semua tidak berganding bahu dalam isu kelestarian alam semula jadi,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Green Technology and Climate Change Centre (MGTC) Shamsul Bahar Mohd Nor.
Jelasnya, langkah proaktif yang dijalankan oleh pihak di dalam bidang itu seperti MGTC di bawah Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) memerlukan sokongan inklusif daripada semua pihak kerana kelestarian alam sekitar penting untuk generasi masa depan Malaysia.
“Bagi memastikan kelestarian alam sekitar dapat dilaksanakan, teknologi hijau dilihat sebagai ejen penting untuk memastikan persekitaran alam semula jadi tidak terjejas dengan perkembangan industri yang pesat.
“Apabila kita memperkatakan mengenai teknologi hijau, ia bukan sahaja menjadi pemuliharaan alam sekitar malah mampu memberi limpahan ekonomi kepada rakyat,” katanya.
Secara umumnya, peranan utama MGTC sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi hijau berpandukan Dasar Teknologi Hijau Negara (NGTP), Dasar Perubahan Iklim Negara (NCCP) dan Pelan Induk Teknologi Hijau (GTMP).
Menjelang 2030, Malaysia mengunjurkan kadar keluaran dalam negara kasar (KDNK) daripada teknologi hijau sebanyak RM100 billion dan penjanaan sebanyak 230,000 peluang pekerjaan hijau.
Shamsul berkata, bagi mencapai sasaran itu MGTC akan berusaha membangunkan ekonomi hijau, mempergiatkan tindakan perubahan iklim dan menyemai gaya hidup hijau yang meliputi masyarakat umum serta pemain industri.
Jelasnya, pelaksanaan insentif pembiayaan hijau merangkumi Skim Pembiayaan Teknologi Hijau (GTFS) yang menawarkan pengeluar dan pengguna teknologi hijau dengan skim pinjaman kos rendah untuk memudahkan pembiayaan projek teknologi hijau.
“Sejak diperkenalkan pada 2010, sebanyak 431 projek sudah diluluskan di bawah skim ini, dengan jumlah pembiayaan RM5.56 bilion dari 28 institusi kewangan yang mengambil bahagian.
“Kedua, pengenalan insentif cukai teknologi hijau pada 2014 yang menyediakan industri dengan dua pilihan insentif cukai iaitu Green Investment Tax Allowances (GITA) untuk aset dan projek dan Green Income Tax Exemption (GITE) untuk Penyedia Perkhidmatan,” katanya.
Pada 2020, MGTC meluluskan 243 permohonan yang ditagih dapat mengurangkan pelepasan GHG sebanyak 575,564 tCO2eq.
Permohonan diluluskan itu mencatatkan RM965.6 juta nilai pelaburan hijau berpotensi dan dijangka mewujudkan 471 pekerjaan hijau. Di bawah insentif itu turut diperkenalkan ialah Geran Audit Tenaga Bersyarat (EACG) untuk sektor perindustrian di bawah Rancangan Malaysia ke-11 untuk mempromosikan kecekapan tenaga.
Tambah beliau, justeru, MGTC dilantik sebagai agensi pelaksana untuk mengurus, mempromosi, menjalankan latihan, memantau dan mengesahkan keberkesanan projek.
“Sehingga Disember 2020, EACG merekodkan penjimatan tenaga keseluruhan 141.334 GWh, bersamaan penjimatan kos tenaga RM52.638 juta dan 94.782 kton karbon yang berjaya dihindarkan dengan jumlah pelaburan RM122.747 juta daripada 108 syarikat,” katanya.
Tidak sekadar itu, MGTC juga memberi pengiktirafan hijau menerusi program seperti MyHIJAU Mark and Directory.
Katanya, pada 2020, program MyHIJAU berjaya menarik penyertaan 470 syarikat dengan 7,498 produk hijau dan perkhidmatan diperakui.
“Pada Julai 2019 kita turut memperkenalkan inisiatif Low Carbon Cities 2030 Challenge (LCC2030C) bagi mempercepatkan transformasi Malaysia ke arah bandar rendah karbon.
“Program ini bertujuan mencapai sasaran 200 Zon Rendah Karbon dan 1,000 Rakan Kongsi Rendah Karbon menjelang 2030,” katanya.
Beliau berkata, MGTC turut melaksanakan budaya hijau yang lain seperti penyediaan akses kepada inovasi hijau terkini dan memberi pengiktirafan kepada pelbagai pihak yang bersama-sama merancakkan kelestarian negara.
“Justeru, MGTC amat berharap lebih ramai pemain industri merancakkan industri hijau kerana ia penting untuk masa depan negara kita,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
Sumber : MSN