Search
Close this search box.
PM minta takrif semula kelestarian, sasar RM5 bilion di Igem 2021
Muhyiddin semasa merasmikan IGEM 2021 secara maya pada Khamis

SHAH ALAM – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta pentakrifan semula kelestarian dilakukan dengan menyasarkan RM5 bilion menerusi perniagaan berteraskan ekonomi hijau di Persidangan dan Pameran Teknologi Hijau dan Produk Eko Antarabangsa Malaysia yang ke-12 (IGEM 2021).

Menurutnya, tema ‘Penakrifan Semula Kelestarian’ yang dipilih amat sesuai kerana tumpuan kini sedang diberikan terhadap perubahan iklim dan teknologi hijau di tengah-tengah cabaran menangani impak pandemik Covid-19.

Jelas beliau, semua pihak perlu bersama-sama mencari jalan untuk mencapai kemajuan ekonomi dan kesejahteraan sosial dengan cara yang lebih mesra alam.

“Saya yakin bahawa acara seperti IGEM 2021 ini merupakan pemangkin bagi pendekatan baharu dan membuka laluan kepada masa depan yang lebih cemerlang.

“Perubahan yang pantas dan di luar jangkaan yang dilalui akibat pandemik memaksa kita untuk terus menilai semula kelestarian dalam setiap aspek kehidupan dan gaya hidup.

“Walaupun negara sedang mengharungi pandemik ini, perlu ditekankan bahawa kita tidak boleh lupa dengan cabaran yang dibawa oleh perubahan iklim,” katanya semasa merasmikan IGEM 2021 secara maya pada Khamis.

Muhyiddin berkata, Igem 2021 merupakan anjuran Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) dengan kerjasama Malaysia Green Technology and Climate Change Centre (MGTC).

Perdana Menteri berkata, persidangan yang dianjurkan sejak 12 tahun lalu itu dijangka akan menampilkan 300 peserta pameran dari 50 buah negara dan bakal menarik kunjungan sebanyak 30,000 pelawat berdaftar sepanjang tempoh enam bulan persidangan.

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan IGEM 2021 akan memaparkan lebih daripada 100 sesi persidangan, webinar dan ‘pocket talk’ dengan menggunakan pendekatan bulanan tematik khusus.

“Ia merangkumi bidang-bidang dalam sektor kelestarian seperti teknologi hijau, air, perubahan iklim, alam sekitar, kelestarian, pembiayaan hijau, tenaga dan e Mobility. Selain itu juga, beberapa majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) juga akan dimeterai.

“Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) bertindak sebagai rakan strategik sepanjang IGEM 2021 bagi membantu sesi padanan perniagaan serta mengadakan bengkel pelaburan secara maya,” ujarnya.

Dalam pada itu, Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, IGEM kali ini diadakan dalam tempoh enam bulan bertujuan untuk memberi peluang yang lebih besar kepada pempamer dan peserta persidangan serta rakan perniagaan untuk meneroka peluang perniagaan dengan lebih meluas.

Menurutnya, melalui program-program dan aktiviti yang dijalankan, diyakini IGEM dapat memainkan peranan secara berkesan serta memenuhi mandat KASA dalam menerajui usaha kelestarian alam sekitar dan air.

Tambahnya, ia juga akan mencetus inspirasi untuk melakukan tindakan bagi mengurangkan impak perubahan iklim di Malaysia dan di peringkat antarabangsa.

Sementara itu, Pengerusi MGTC, Profesor Datuk Ir Dr A Bakar Jaafar berkata, pihaknya tetap komited untuk memainkan peranan penting dalam menyokong dan memacu agenda hijau negara.

“Pada sesi IGEM kali ini juga, MGTC melancarkan logo baharu dengan tujuan untuk memastikan peranan kami sebagai peneraju utama teknologi hijau dan pembangunan rendah karbon.

“Sehingga kini, sebanyak 100 peserta pameran telah mengesahkan penyertaan dan dijangka bertambah pada bulan-bulan akan datang,” katanya.

Sumber : Sinar Harian

Like this article?
Share on Facebook
Share on Twitter
Share on Linkdin
Share on Pinterest