PUTRAJAYA: Pembangunan ekonomi hidrogen perlu diperkasa lagi memandangkan ia dijangka dapat memacu pertumbuhan iktisad negara dengan lebih pesat pada masa depan.
Saranan itu disuarakan Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang cukup optimis dan melahirkan keyakinan positif ke atas sumber tenaga boleh diperbaharui itu.
“Usaha murni ini juga sejajar dengan tiga sasaran dalam Matlamat Pembangunan Mampan yang ditetapkan secara holistik oleh Pertubuhan Bangsa Bersatu pada 2015,” jelasnya ketika berucap merasmikan Bengkel Strategik dan Forum Ekonomi Hidrogen Antarabangsa secara maya hari ini anjuran kementerian itu dengan pelbagai pihak.
Ini meliputi Pusat Perubahan Iklim dan Teknologi Hijau Malaysia (MGTC) serta turut mendapat kerjasama strategik daripada kedutaan Jepun, Australia, Britain, Sweden dan Korea Selatan.
Program empat hari itu bersempena Persidangan Teknologi Hijau dan Pameran Produk Ekologi Antarabangsa 2021 yang dilancarkan pada 22 Julai lalu bagi meneroka potensi bahan lestari yang turut dihadiri Duta Jepun, Oka Hiroshi; Pengerusi MGTC, Prof. Datuk Ir. Dr. A. Bakar Jaafar dan Pengerusi Perbadanan Kemajuan Ekonomi Sarawak (SEDC), Tan Sri Abdul Aziz Hussain.
Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, inisiatif teknologi hidrogen yang giat dilaksanakan di seluruh negara ketika ini bakal mewujudkan banyak peluang pelaburan baharu ekonomi hijau.
“Perancangan dalam konteks tempatan namun perlu dibuat secara teliti seiring situasi semasa selain memastikan ia menyumbang peningkatan masa depan ekonomi negara kita,” tegasnya.
Beliau kemudian menyaksikan sesi pemeteraian memorandum kerjasama tiga pihak antara MGTC dengan UMW Holdings Berhad dan Mitsui Co. Ltd., SEDC serta Vizione Energy Sdn. Bhd. – UTUSAN ONLINE
Sumber : Utusan