Search
Close this search box.
PARLIMEN: KASA sasar penyertaan 100 graduan dalam JaGUH
Pertanian bandar antara program ditawarkan menerusi JaGUH. - Foto hiasan
Pertanian bandar antara program ditawarkan menerusi JaGUH. – Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) menyasarkan penyertaan 100 graduan universiti awam (UA) atau institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) bagi pengambilan kumpulan pertama Program Jana Usahawan Hijau (JaGUH).

Program dilengkapi tiga aliran merangkumi JaGUH Pengurusan Tenaga, Produk Hijau dan Pengurusan Tenaga itu akan dilancarkan Januari depan, dengan pengambilan kumpulan pertama dijangka pada Mac 2021.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata program itu akan membabitkan graduan UA atau IPTS yang belum mendapat pekerjaan selepas enam bulan menamatkan pengajian masing-masing.

Katanya, program itu membabitkan penyertaan graduan lepasan UA dan IPTS yang mempunyai pekerjaan tetapi tidak bertepatan dengan tahap kelayakan akademik mereka.

“Graduan yang layak akan melalui program JaGUH selama enam bulan dan kementerian melalui Malaysian Green Technology Corporation (MGTC) merancang mewujudkan kerjasama bagi setiap aliran dengan kementerian berkaitan.

“Peruntukan setiap graduan adalah antara RM15,000 hingga RM20,000, bergantung kepada aliran dengan anggaran ini termasuk pembayaran elaun bulanan RM900 sepanjang enam bulan pembabitan graduan.

“Anggaran setiap aliran untuk 100 graduan bagi kumpulan pertama JaGUH Pengurusan Tenaga bernilai RM1.95 juta, manakala JaGUH Produk Hijau (RM1.75 juta) dan JaGUH Pertanian Bandar (RM1.85 juta),” katanya pada sesi soal lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Shahrizukirnain Abd Kadir (PAS-Setiu) yang mahu kementerian memperincikan kaedah pelaksanaan Program JaGUH.

Tuan Ibrahim berkata, matlamat utama JaGUH ialah membantu graduan muda lebih berdikari menjana pendapatan melalui kaedah keusahawanan dalam kemahiran industri hijau, selaras usaha kerajaan memperluas pembangunan ekonomi hijau.

Program JaGUH dibangunkan mengikut bidang kemahiran industri hijau berdasarkan sektor dan subsektor Pelan Induk Teknologi Hijau 2017-2030 (GTMP).

“Antara bidang kemahiran dikenal pasti termasuk perkhidmatan audit tenaga, perundingan pengurusan tenaga dan gaya hidup hijau, perkhidmatan kitar semula dan pelbagai bidang lain yang sedang dikenal pasti.

“Senarai bidang kemahiran akan diperluas mengikut kesesuaian permintaan pasaran dan menepati sasaran GTMP.

“Strategi utama pembangunan kemahiran di bawah program ini berdasarkan konsep perantis dalam usaha meningkatkan kecekapan graduan,” katanya.

Sumber : Berita Harian

Like this article?
Share on Facebook
Share on Twitter
Share on Linkdin
Share on Pinterest