Belanjawan 2021: Bon Kelestarian inisiatif sokong pertumbuhan Ekonomi Hijau
Gambar hiasan. Ladang tenaga solar.
Gambar hiasan. Ladang tenaga solar.

KUALA LUMPUR: Bon Kelestarian pertama Malaysia untuk inisiatif alam sekitar dan sosial yang akan diterbitkan kerajaan, akan menjadikan Malaysia hab serantau bagi gaya hidup mapan.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Green Technology and Climate Change Centre (MGTC), Shamsul Bahar Mohd Nor, berkata usaha kerajaan memperkenalkan bod di bawah Sukuk Prihatin itu yang dilihat sebagai inisiatif sokongan kepada pertumbuhan Ekonomi Hijau.

Sementara itu, pengenalan program Save 2.0 dengan peruntukkan RM30 juta untuk mendorong isi rumah membeli peralatan elektrik dengan sistem kecekapan tenaga bernilai RM200 juta juga akan menyumbang kepada pengurangan pelepasan Gas Rumah Hijau (GHG).

“MGTC menyambut baik pembentangan Belanjawan 2021 yang mencerminkan komitmen kerajaan untuk memacu agenda ekonomi hijau di tengah-tengah pandemik COVID-19.

“Belanjawan 2021 adalah faktor utama yang akan menyumbang kepada kesedaran masyarakat bahawa pemeliharaan alam sekitar adalah sangat penting,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, selaras dengan usaha untuk mempromosi Tenaga Boleh Baharu sebagai sumber tenaga alternatif kerajaan juga telah mengambil pendekatan dengan memberi sokongan kepada Ekonomi Hidrogen.

“Ini telah membuktikan kerajaan berusaha dalam memperkasakan Matlamat Pembangunan Lestari sebagai antara fokus utama.

“Dalam memastikan kelestarian alam sekitar dan pertumbuhan Ekonomi Hijau, kerajaan telah mengusulkan untuk melanjutkan Skim Pembiayaan Teknologi Hijau (GTFS) dengan memperuntukkan sebanyak RM2 billion.

“Ini akan mendorong sektor swasta, terutama industri pembuatan dan perkhidmatan, untuk mengambil bahagian dalam teknologi hijau,” katanya.

Sumber : Berita Harian

Like this article?
Share on Facebook
Share on Twitter
Share on Linkdin
Share on Pinterest