Search
Close this search box.
Greentech Malaysia umum CEO baharu

KUALA LUMPUR: Malaysian Green Technology Corporation (GreenTech Malaysia), melantik Shamsul Bahar Mohd Nor sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) yang baharu berkuatkuasa hari ini.

Agensi di bawah Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC), dalam kenyataan berkata, Shamsul akan menerajui agenda perubahan iklim negara dan memacu pembangunan ekonomi mampan.

“Dengan pengalaman lebih tiga dekad dalam sektor korporat Malaysia, Shamsul menjadi kombinasi minda saintifik yang dinamik yang digabungkan dengan pengetahuan teknologi dan perniagaan.

“Beliau adalah seorang pemimpin berwawasan, yang menerajui pasukan ke arah objektif perniagaan dan kejayaannya mengembalikan keuntungan syarikat,” jelas GreenTech Malaysia.

Sementara itu, Pengerusi GreenTech Malaysia, Prof Datuk Ir Dr A Bakar Jaafar, berkata dengan pendedahan luar biasa dan pengalaman luas Shamsul dalam sektor awam dan swasta, beliau mampu memimpin organisasi ke tahap yang lebih tinggi.

“Saya sangat gembira untuk mengalu-alukan Shamsul dalam GreenTech Malaysia,” katanya.

Antara kejayaan utama Shamsul menguruskan Bon Hijau patuh syariah Benchmark International Ltd, Malta bagi projek teknologi hijau, tenaga boleh diperbaharui (RE) dan mampan di ASEAN.

Pada 2014, Shamsul dianugerahkan kelulusan paten di 40 negara bagi sistem RE yang menukar plastik sampah kepada minyak diesel ultra rendah sulfur (EN590) komersial.

Pencapaian itu membolehkan beliau meraih Anugerah Inovasi Tahunan MOSTI, Anugerah Pemangkin Malaysian Green Technology Corporation dan Anugerah Inovasi Teknologi Bersih Global Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi sistem teknologi RE.

Mengulas mengenai pelantikan itu, Shamsul berkata, dengan rekod trek selama 10 tahun, GreenTech Malaysia kini dapat memainkan peranan penting dalam memacu agenda hijau dan pembangunan mampan negara.

“Saya berharap dapat mengetuai pasukan dengan visi dan tujuan untuk memperkukuhkan kedudukan Malaysia sebagai negara yang mampu memastikan kemakmuran ekonomi bersama,” katanya.

Sebelum dilantik sebagai CEO GreenTech Malaysia, Shamsul adalah Pengarah Urusan Syngas Renewable Energy dan Pengarah Ekseutif Saham Utama Sdn Bhd.

Sumber : Berita Harian

Like this article?
Share on Facebook
Share on Twitter
Share on Linkdin
Share on Pinterest